Jual dadah kepada pengunjung pusat hiburan

A
A

SEREMBAN - Kegiatan dua lelaki yang aktif mengedar dadah kepada pengunjung pusat hiburan di sekitar daerah ini tumpas selepas polis menahan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM36,407 dalam serbuan ke atas sebuah kenderaan di belakang sebuah rumah kedai di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 9.40 malam itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, merampas syabu seberat 232.1 gram, ketamine (7.61 gram), estacy (2.98 gram) dan eramin 5 (5.58 gram) daripada suspek berusia 27 dan 29 tahun itu.

Ketua JSJN Negeri Sembilan, Superintendan Pang Jin Lai, dalam kenyataan hari ini, berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dua buah kereta jenis Toyota Vios dan Perodua Myvi, wang tunai serta dua utas jam tangan dengan keseluruhan bernilai RM124,950.

Beliau berkata ujian saringan ke atas kedua-dua suspek juga mendapati mereka positif dadah amphetamine dan methamphetamine

Kedua-dua mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Pang berkata, nilai sitaan terhadap aset pengedar dadah yang telah ditahan setakat lima bulan pertama tahun ini adalah berjumlah RM2.8 juta. - Bernama