19 juta kanak-kanak Sudan tidak bersekolah akibat konflik

Kira-kira 6.5 juta kanak-kanak tidak dapat ke sekolah dan sekurang-kurangnya 10,400 sekolah ditutup. - Foto CNN
Kira-kira 6.5 juta kanak-kanak tidak dapat ke sekolah dan sekurang-kurangnya 10,400 sekolah ditutup. - Foto CNN
A
A
A

NEW YORK - Dianggarkan 19 juta kanak-kanak di Sudan tidak bersekolah ekoran konflik ketenteraan, menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Save the Children dalam satu kenyataan bersama pada Isnin, lapor Xinhua.

Daripada jumlah itu, kira-kira 6.5 juta kanak-kanak tidak dapat ke sekolah dan sekurang-kurangnya 10,400 sekolah ditutup.

Sementara itu, lebih 5.5 juta kanak-kanak yang tinggal di kawasan yang kurang terjejas akibat perang, sedang menunggu pihak berkuasa tempatan untuk mengesahkan sama ada sekolah boleh dibuka semula.

Sudan mempunyai 23 juta kanak-kanak yang menyumbang kepada hampir separuh daripada jumlah penduduk negara itu.

Sebelum konflik meletus pada 15 April, hampir tujuh juta kanak-kanak tidak bersekolah.

Perbelanjaan untuk perkhidmatan sosial menurun dengan ketara, dengan guru di hampir semua negeri tidak dibayar gaji sejak konflik bermula, peruntukan pendidikan semakin berkurangan dan kemudahan tidak diselenggara.

Walaupun usaha sedang dijalankan di beberapa wilayah untuk memastikan sistem pendidikan di Sudan kekal berfungsi, wujud kekangan yang ketara, dengan keperluan lebih besar berbanding sumber.

UNICEF dan Save the Children menggesa pihak berkuasa Sudan membuka semula sekolah di kawasan selamat, sambil menyokong kaedah pembelajaran alternatif dalam komuniti. - Bernama

Artikel Berkaitan: