Fenomena jerebu dijangka tidak berpanjangan - Nik Nazmi

Pemandangan sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pemandangan sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fenomena jerebu tidak akan berpanjangan di negara ini memandangkan tiupan angin yang kerap berubah.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementerian melalui MetMalaysia sedia melakukan Operasi Pembenihan Awan sekiranya jerebu berterusan dan keadaan kualiti udara semakin merosot iaitu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 151 hingga 200 melebihi 24 jam.

Ujar beliau, operasi tersebut adalah di bawah penyelarasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai.

“Kementerian melalui MET Malaysia juga menyediakan ramalan sehingga lima hari pergerakan jerebu rentas sempadan yang dijana menggunakan Model Ramalan Pergerakan Jerebu iaitu Hybrid Single-Particle Lagrangian Integrated Trajectory (HYSPLIT) dan Copernicus Atmospheric Monitoring Service (CAMS) kepada jabatan dan agensi-agensi berkaitan.

“Output (data) ramalan pergerakan jerebu juga dimaklumkan kepada orang awam melalui laman web MetMalaysia (http://bencana.met.gov.my),” katanya ketika Sesi Penerangan Menteri berkenaan fenomena jerebu melanda negara di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persediaan menghadapi jerebu, Nik Nazmi berkata, negara-negara ASEAN telah mengambil tindakan proaktif bagi menangani masalah jerebu melalui saluran rundingan antarabangsa, langkah pencegahan serta penguatkuasaan di kawasan masing-masing.

“Semua negara termasuklah Malaysia telah menjalinkan kerjasama serantau mengenai tindakan-tindakan pencegahan jerebu di bawah kerangka Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.

“Di bawah perjanjian itu, Malaysia komited dan memberikan kerjasama terutamanya dalam bidang pembangunan keupayaan, perkongsian maklumat dan kepakaran dalam aspek penguatkuasaan undang-undang pembakaran terbuka, teknologi perladangan sifar pembakaran (‘zero burning’), pengurusan tanah gambut yang mampan dan latihan pemadaman kebakaran.

Artikel Berkaitan:

“Delegasi Malaysia yang diketuai oleh saya sendiri telah menghadiri Mesyuarat ke-24 Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (24th MSC) dan Meeting of the Technical Working Group on Transboundary Haze Pollution (24th TWG) pada 7 dan 8 Jun 2023 di Singapura,” ujarnya.

Tambahnya, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Menteri Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) juga telah menghadiri Mesyuarat Ke-18 Conference of the Parties to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (COP-18) pada 22 Ogos 2023 di Vientiane, Lao PDR yang dihadiri oleh semua negara anggota ASEAN.

“Melalui siri mesyuarat utama ini, semua negara anggota ASEAN telah melaporkan tindakan dan strategi masing-masing dalam pencegahan pembakaran terbuka dan jerebu serta terus komited untuk bersama-sama memastikan inisiatif-inisiatif yang ditetapkan dalam Second ASEAN Haze-Free Roadmap yang baharu akan dilaksanakan sewajarnya bagi mencapai matlamat ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030.

“Selain kerjasama di bawah ASEAN, Malaysia turut mengadakan kerjasama dua hala bersama Indonesia secara ‘Government-to-Government’ (kerajaan-ke-kerajaan) bagi usaha-usaha pencegahan jerebu.

“Pihak Indonesia telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menangani masalah jerebu merentas sempadan sejak kejadian jerebu pada 2015 dan melaksanakan ‘Indonesia’s Plan of Action (PoA) in Dealing with Transboundary Haze Pollution’,” jelasnya.