Penjimatan bil utiliti RM100 bilion menerusi EECA - Nik Nazmi

Nik Nazmi - Foto Bernama
Nik Nazmi - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 yang diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu dapat memastikan sasaran jangka panjang negara dalam penjimatan bil utiliti hampir RM100 bilion menjelang 2050 boleh dicapai.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penguatkuasaan undang-undang itu juga mampu mencapai anggaran penjimatan pelepasan karbon hampir 200,000 kiloton (koCO2).

"Selepas ini, Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) menjadi perundangan yang komprehensif dalam menangani soal kecekapan tenaga," katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Bil Elektrik (Pindaan) 2023 pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu bagi mengawal selia penggunaan cekap tenaga dan konservasi tenaga serta untuk menambah baik dan meningkatkan kecekapan tenaga selain mengelakkan pembaziran.

Nik Nazmi berkata, undang-undang itu akan dikuat kuasa dalam tempoh 12 bulan selepas diwartakan.
Artikel Berkaitan:


"Keutamaan pihak kementerian dan Suruhanjaya Tenaga setelah akta ini diluluskan adalah untuk memberi penjelasan serta penerangan kepada semua pihak berkepentingan untuk memahami dan melaksanakan peruntukan dalam akta ini khususnya audit tenaga, langkah penjimatan dan pelaporan," katanya.

Pada persidangan hari ini, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Bil Elektrik (Pindaan) 2023 yang antara lain bertujuan meminda beberapa peruntukan dalam Akta Bil Elektrik 1990 susulan penggubalan EECA. - Bernama.