PN kena 3-0, kemenangan PRK beri isyarat rakyat sokong UMNO

Gambar kecil: Abdul Halim
Gambar kecil: Abdul Halim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kejayaan calon UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang, Sabtu lalu, membawa mesej positif rakyat semakin yakin kepada UMNO.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, kemenangan itu turut memberi motivasi cukup tinggi kepada pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat untuk terus berusaha memulihkan parti yang kini berdepan pelbagai fitnah dan tekanan.

"Kekuatan yang dimiliki UMNO ini datangnya daripada sebahagian besar pemimpin dan ahli akar umbi yang masih setia tanpa berbelah bahagi kepada parti, semangat untuk terus mempertahankan kesinambungan perjuangan dan tak rela UMNO terus dibuli.

"Saya melihat kempen DUN Pelangai memperlihatkan semangat perjuangan dan kesatuan hati pemimpin dan akar umbi dari seluruh negara terserlah apabila semua turun padang berkempen.

"Saya sendiri banyak kali turun ke DUN Pelangai dalam tempoh dua minggu kempen, saya dapat tengok suasana hebat macam mana jentera-jentera UMNO dari seluruh negara silih berganti bersama bantu UMNO Pahang dan UMNO Bahagian Bentong berkempen," jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau turut memberitahu, jentera UMNO dari seluruh negara membantu UMNO Pahang dan UMNO Bahagian Bentong semasa berkempen.

"Sebab itulah dari awal lagi sebenarnya PN terutamanya Pas rasa tergugat dengan kekuatan jentera kempen UMNO yang dibantu pula oleh jentera PH di DUN Pelangai. Apatah lagi bila PN sedar bahawa mereka semakin hilang taring dan aura untuk terus meyakinkan rakyat mengundi mereka.

"Kekuatan jentera dan akar umbi UMNO inilah yang sekali lagi berjaya menyekat Gelombang Hijau selepas PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram. PN kena 3-0 setakat ini," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Abdul Halim menyeru agar kekuatan UMNO seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dikembalikan dengan usaha pucuk pimpinan dan akar umbi.

“Pemimpin kena kembali dalam barisan, ahli akar umbi kena perkuat parti, kita semua kena ketepikan perbalahan dan berdiri teguh bersama Presiden dan kepimpinan UMNO. Insya-Allah, saya percaya dalam tempoh tiga tahun akan datang UMNO akan pulih seperti sebelum ini,” ujarnya.