AS arah kakitangan kerajaan bukan kecemasan tinggalkan Iraq

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BAGHDAD - Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Iraq pada Rabu berkata Jabatan Negara AS telah mengarahkan kakitangan bukan kecemasan yang bertugas di kedutaan negara itu di Baghdad dan konsulatnya di Erbil agar meninggalkan Iraq, lapor agensi berita China Xinhua.

"Perkhidmatan visa normal di kedua-dua tempat (Baghdad dan Erbil) akan digantung buat sementara," menurut kenyataan kedutaan itu.

"Kerajaan AS telah mengehadkan keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan kecemasan kepada rakyat AS di Iraq," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tentera AS berkata anggotanya kini dalam keadaan berjaga-jaga di Iraq dan Syria susulan kebimbangan terdapat "ancaman yang pasti" daripada pasukan yang disokong Iran di rantau itu.

Langkah AS itu dibuat susulan situasi tegang di rantau itu selepas Presiden Donald Trump memutuskan untuk tidak mengecualikan sekatan bagi pengimport utama untuk terus membeli minyak Iran apabila tempohnya tamat pada awal Mei.

AS juga telah meningkatkan jumlah tenteranya di rantau itu baru-baru ini dengan menghantar sebuah pesawat pengangkut, pengebom dan sistem anti-peluru berpandu ke sana, dengan memberi alasan terdapat ancaman serangan oleh Iran.- Bernama

Artikel Berkaitan: