Geran Padanan Sukan mula jelma impak positif

Arif Afifudin bersama jurulatihnya, Tamer Abdelraouf Mourssy (kanan) selepas meraih pingat emas Sukan Asia 2022 di Hangzhou pada Sabtu lalu.
FOTO: BERNAMA
Arif Afifudin bersama jurulatihnya, Tamer Abdelraouf Mourssy (kanan) selepas meraih pingat emas Sukan Asia 2022 di Hangzhou pada Sabtu lalu. FOTO: BERNAMA
A
A
A

INISIATIF Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan Geran Padanan Sukan (GPS) tampak mula berhasil dengan pencapaian cemerlang beberapa atlet negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, skuad karate negara yang menyumbang satu pingat emas dan dua perak di Hangzhou antara contoh terbaik hasil impak yang dicetuskan KBS tahun ini.

Menurutnya, KBS telah menyediakan GPS berjumlah RM1 juta kepada Persatuan Karate Malaysia (MAKAF) bagi penganjuran Kejohanan Karate Asia di Melaka pada Julai lepas.

"Pada masa kejohanan di Melaka itu, team kata wanita mendapat pingat gangsa, tetapi kali ini (Sukan Asia Hangzhou 2022), mereka membawa pulang pingat perak.

"Begitu juga untuk (acara kata individu wanita), pada masa itu (Lovelly Ann Robbert) menduduki tempat ketujuh, tetapi pada Sukan Asia ini, beliau meraih pingat perak.

"Ketiganya dalam acara kumite bawah 84 kilogram (kg). Pada kejohanan di Melaka, (Muhammad) Arif (Affifudin Ab Malik menduduki tempat ketujuh, kali ini beliau mendapat pingat emas.

"Ini adalah contoh yang mana GPS berjaya mendatangkan hasil kerana membantu prestasi atlet kita," kata Hannah dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.

Pada Sukan Asia kali ini, skuad karate tampil cemerlang dengan kejayaan Arif Afifudin meraih pingat emas acara kumite lelaki bawah 84kg, sekali gus menyumbang emas keenam kontinjen Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Lovelly mencipta kejutan meraih perak acara kata individu wanita sebelum dia mengetuai dua lagi rakannya, Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil menyambar perak bagi kata berpasukan.