Pekerja Thailand Post cuba seludup warga Myanmar ke Malaysia guna van pejabat

A
A

SONGKHLA - Dalam cubaan mengabui mata pihak berkuasa, seorang pekerja Thailand Post menggunakan van rasmi agensi itu untuk menyeludup 13 pendatang asing tanpa izin warga Myanmar ke Malaysia.

Namun, taktik itu berjaya dihidu pihak polis dan kastam Thailand dalam satu operasi.

Dua lelaki warga tempatan, termasuk seorang pemandu Thailand Post dan 13 lagi warga Myanmar ditahan untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 pagi (waktu tempatan) semalam, polis mengesan sebuah van yang mencurigakan itu di Rattaphum, Songkhla.

Jurucakap polis berkata hasil pemeriksaan, polis menemui 13 lelaki warga Myanmar yang memasuki Thailand tanpa sebarang dokumen perjalanan dalam van tersebut.

“Dua lelaki warga Thai juga ditahan. Suspek mengakui menerima bayaran 1,500 Baht untuk membawa masuk seorang warga Myanmar ke Malaysia,” katanya.

Polis berkata kesemua warga Myanmar itu berasal dari Samut Songkram akan diserahkan kepada orang tengah di Hatyai sebelum diseludup masuk melalui jalan tikus di Padang Besar, Perlis Malaysia.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Thailand Post berkata pemandu van agensi itu yang ditahan polis kerana cuba menyeludup warga Myanmar telah dipecat serta merta. - Bernama