Liputan 5G capai 70.2 peratus setakat 30 September - Fahmi

Fahmi semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Fahmi semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 5,873 tapak bagi rangkaian 5G telah siap dibangunkan dengan perkhidmatan tersebut kini mencapai 70.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk setakat 30 September lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan rangkaian 5G negara ketika ini sedang giat dijalankan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dengan sasaran untuk menyiapkan 7,509 tapak 5G di seluruh negara meliputi 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk (CoPA).

“Bagi jumlah langganan perkhidmatan 5G pula sebanyak 2.49 juta langganan telah direkodkan bersamaan dengan 7.4 peratus kadar penebusan.

“Sehingga kini enam syarikat pemberi perkhidmatan mudah alih telah menawarkan plan komersial 5G iaitu Celcom Digi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia, YTL Communication dan Yoodoo,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) yang mahu penjelasan status pembangunan rangkaian 5G serta jumlah langganan yang telah diterima menerusi perkhidmatan berkenaan.

Tambah Fahmi, kerajaan telah mengumumkan pakej 5G Rahmah pada 31 Ogos lalu dan terdapat 50,991 orang telah melanggan perkhidmatan tersebut dalam tempoh sebulan iaitu dari 31 Ogos hingga penghujung September tahun ini.

Artikel Berkaitan: