Bisa Bellingham mengagumkan

Bellingham meledak dua gol ketika membantu Real menewaskan Osasuna 4-0 dalam saingan La Liga pada Sabtu. - Foto: EPA.
Bellingham meledak dua gol ketika membantu Real menewaskan Osasuna 4-0 dalam saingan La Liga pada Sabtu. - Foto: EPA.
A
A
A

AKSI padu pemain sensasi Real Madrid, Jude Bellingham di depan gawang gol mendapat pujian bosnya, Carlo Ancelotti yang menyifatkan pemain berusia 20 tahun itu sebagai mengagumkan.

Bellingham menjadi watak penting apabila menyumbat dua gol ketika Real menewaskan Osasuna 4-0 dalam saingan La Liga pada Sabtu.

Ancelotti berkata, tiada siapa menjangkakan Bellingham terlalu tajam di depan pintu gol dan kelibatnya tidak boleh dihalang lebih-lebih lagi ketika berada di kubu lawan.

Pemain antarabangsa England itu ketika ini mendahului senarai penjaring liga dengan lapan gol.

“Ia permulaan musim yang mengejutkan daripadanya dalam semua aspek. Sudah tentu tiada siapa menjangkakan tahap ini, terutama daripada segi jaringan.

“Bellingham menemui banyak peluang di bahagian serangan, dia banyak terbabit dalam gerakan serangan pasukan dan tidak mempunyai posisi khusus memberikannya kelebihan,” kata Ancelotti.

Ancelotti mengubah peranan bekas pemain Borussia Dortmund itu kepada lebih menyerang dengan kekebasan untuk bergerak di belakang dua penyerang tengah dan ia ternyata berhasil.

Dalam aksi itu, Bellingham membuka tirai gol pada minit kesembilan dan menggandakan jaringan pada minit ke-54.

Artikel Berkaitan:

Vinicius Junior dan Joselu turut mencatat nama selaku penjaring menerusi ledakan pada minit ke-65 serta 70.

“Saya suka membayangkan permainan. Saya melihat padang, rumput serta posisi permainan dan dengan cara itu saya berasa lebih tenang,” kata Bellingham.