Perkasa ekonomi, kurangkan pekerja asing

Pengukuhan ekonomi negara menjadi antara faktor penting untuk kerajaan mencipta peluang pekerjaan kategori mahir yang lebih sesuai dengan kelayakan graduan. - Gambar hiasan
Pengukuhan ekonomi negara menjadi antara faktor penting untuk kerajaan mencipta peluang pekerjaan kategori mahir yang lebih sesuai dengan kelayakan graduan. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Pengukuhan ekonomi negara menjadi antara faktor penting untuk kerajaan mencipta peluang pekerjaan kategori mahir yang lebih sesuai dengan kelayakan graduan.

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nuqman Haziq Mohd Ayub Khan, 23, berkata, prestasi ekonomi ketika ini lebih banyak mempengaruhi ruang pekerjaan bagi kategori separa mahir dan tidak mahir.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Proses itu berkata, kedudukan ekonomi kukuh akan menarik lebih banyak pelaburan khususnya industri kemahiran tinggi.

“Peluang pekerjaan yang ada tidak memenuhi kehendak graduan, buktinya setiap tahun kadar pengangguran kalangan lepasan universiti masih tinggi dan sebahagiannya mendapat pekerjaan tidak menepati kelayakan dimiliki,” katanya yang membantu keluarga menguruskan perniagaan perabot.

Muhammad Iqmal Hakim Roslin, 23, dari Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTeM) berkata, tanggungjawab menyediakan peluang pekerjaan untuk graduan memerlukan kerjasama daripada kerajaan dan pihak industri.

Menurut penuntut Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Rekabentuk Produk) itu, kerajaan perlu memastikan pelaburan masuk secara positif ke dalam negara supaya syarikat-syarikat baharu dapat dibangunkan.

“Pelaburan asing sangat penting untuk negara membangunkan peluang pekerjaan khususnya dalam menyediakan tempat untuk para graduan atas faktor lambakan graduan dengan kelayakan yang sama.

“Berdasarkan pengalaman saya, sulit untuk memperoleh tempat kerana graduan perlu bersaing bersama ribuan graduan baharu dan mereka yang sedia ada dalam sektor industri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu diakui graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Nur Hanisah Hamsan, 23, yang masih belum berjaya menempatkan diri dalam sektor pekerjaan.

Katanya, bagi membantu graduan baharu mendapat peluang, kerajaan perlu mengurangkan pengambilan pekerja asing dan mengubah had usia persaraan kepada lebih awal.

“Sebaik tamat pengajian, saya buat permohonan kerja di pelbagai platform dan aplikasi seperti JobStreet, MyFuture Jobs, LinkedIn, Hirely dan sebagainya, tetapi masih belum mendapat tempat,” katanya.

Sementara itu, Norliyana Ramli, 25, berharap kerajaan dapat meningkatkan program usahasama bersama syarikat baharu dan agensi asing.

Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, langkah tersebut boleh membantu para graduan memposisikan diri dalam pasaran kerja yang memberi jaminan masa depan.

“Bagi saya, peluang pekerjaan yang tersedia ketika ini tidak mencukupi mengambil kira permohonan untuk bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta yang tinggi setiap tahun.

“Ramai yang memohon dapat melepasi ke peringkat temuduga, tetapi akhirnya tidak mendapat tempat kerana posisi jawatan yang sedikit,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa.

Bagi graduan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Muhammad Aizat Firdaus Rodzi, 21, pula terpaksa bekerja sambilan untuk menampung berbelanjaan hidup dan membantu keluarga.

Katanya, pernah beberapa kali membuat permohonan dan hadir temuduga kerja, tetapi tidak berjaya kerana dikatakan tidak ada pengalaman.

“Setiap sektor pekerjaan hanya mengambil pekerja mempunyai pengalaman sedangkan majikan perlulah memberi peluang kepada graduan yang baru untuk memberi pengalaman yang tidak pernah belajar dalam silibus akedemik,” katanya.