PRK Pelangai: Peratusan keluar mengundi tinggi isyarat kemenangan BN

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

BENTONG - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peratusan keluar mengundi yang tinggi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai setakat ini memberi isyarat kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, berbaki sejam tempoh pembuangan undi, beliau yakin peratusan keluar mengundi akan terus meningkat.

"Ini kawasan BN, pengundi tinggi, jadi BN menang.

"Anak muda pun bukan semua undi mereka (Perikatan Nasional)," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Felda Chemomoi, di sini pada Sabtu.

Setakat jam 4 petang, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengemas kini peratusan keluar mengundi sebanyak 69 peratus berbanding 75 peratus yang disasarkan.

Keputusan penuh dan jumlah keseluruhan keluar mengundi hanya akan diumumkan secara rasmi setelah semua peti undi selesai proses pengiraan.

Seramai 16,456 pengundi bakal menentukan wakil rakyat baharu mereka menerusi PRK DUN Pelangai pada Sabtu.

PRK kawasan itu perlu diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Pertandingan merebut kerusi tersebut menyaksikan persaingan tiga penjuru apabila Perikatan Nasional (PN) meletakkan Kasim Samat yang juga bekas calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu manakala BN meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam serta calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.