Orang ramai sakit tekak, cepat dahaga akibat jerebu

Keadaan jerebu di Bandar Senai pada petang Sabtu. Gambar kecil: Ahmad Faizal, Mohammad Nurhaikal, Kooi Song
Keadaan jerebu di Bandar Senai pada petang Sabtu. Gambar kecil: Ahmad Faizal, Mohammad Nurhaikal, Kooi Song
A
A
A

KOTA TINGGI - Beberapa daerah di Johor terus mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Setakat jam 6 petang Sabtu, Larkin mencatatkan bacaan IPU paling tinggi iaitu 162, diikuti Batu Pahat dan Pasir Gudang (156), Kota Tinggi (123), manakala Segamat dan Pengerang masing-masing merekodkan bacaan 107.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Kota Tinggi pada Sabtu mendapati orang ramai mengakui pernah mengalami demam selain sakit tekak dan mudah berasa dahaga.

Menurut seorang pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pengerang, Ahmad Faizal Bahauddin, 48, keadaan berjerebu ketika ini, terutama pada waktu pagi memberikan sedikit kesulitan kepada pengguna jalan raya.

Katanya, dia yang berulang-alik dari Taman Desaru Utama ke Pengerang sering berdepan suasana berkabus hampir setiap hari.

Keadaan jerebu di atas Jambatan Sungai Johor.
Keadaan jerebu di atas Jambatan Sungai Johor.

"Cuaca berjerebu ini memang mengganggu pemandu terutama dalam jam 7 pagi disebabkan keadaan jerebu, memang kena berhati-hati ketika memandu.

"Mujur saya bawa kereta. Apa yang saya dengar daripada rakan-rakan yang bawa motosikal ke tempat kerja, ada yang mengadu pedih mata selain cepat dahaga.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri pun tak tahu dari mana datangnya jerebu ini, tapi saya harap masalah ini dapat diselesaikan," katanya.

Bagi Hon Kooi Song, 51, keadaan jerebu di Kota Tinggi masih kelihatan membimbangkan.

Keadaan jerebu di persimpangan Stadium Kejora di hadapan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar.
Keadaan jerebu di persimpangan Stadium Kejora di hadapan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar.

Bagaimanapun penternak ikan itu berkata, keadaan sedemikian tidak menjejaskan rutin hariannya di kolam ternakan ikannya itu.

"Jerebu ini saya tengok sama sahaja macam dulu. Tapi tiga anak saya demam, sakit tekak dan sekarang mereka dah sembuh.

"Saya pula bernasib baik tidak demam macam mereka. Sekarang saya selalu bawa bekal air ke tempat kerja kerana sentiasa rasa dahaga," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja pasar raya, Mohammad Nurhaikal Tulimin, 25, menyifatkan keadaan jerebu di sekitar Bandar Penawar masih terkawal ketika ini.

Namun dalam masa sama, dia mengakui cepat berasa dahaga berbanding sebelumnya, malah demam beberapa hari lalu.

"Kalau tanya saya, jerebu ini tak kuat sangat tapi kalau keluar waktu pagi tu memang nampaklah macam kabus.

"Saya pun pernah demam, tekak rasa kering dan sekarang pun memang cepat rasa dahaga.

Jerebu mengakibatkan jarak penglihatan terhad sedikit di bulatan Jalan Bandar Bistari Perdana Utama, Pasir Gudang pada Sabtu.
Jerebu mengakibatkan jarak penglihatan terhad sedikit di bulatan Jalan Bandar Bistari Perdana Utama, Pasir Gudang pada Sabtu.

"Cuaca pula memang masa ini agak panas, buka kipas sampai lima (kelajuan) pun tak rasa apa," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa tempat di Bandar Raya Pasir Gudang mendapati, kabus tebal dapat dilihat kira-kira jam 7.30 pagi di antaranya di Taman Dahlia, Taman Kota Masai, Bandar Bistari Perdana dan Kampung Tanjung Langsat.

Mohd Rafee
Mohd Rafee

Penduduk Kampung Tanjung Langsat, Mohd Rafee Abdullah, 50, berkata, keadaan jerebu agak teruk sehingga menyebabkan beberapa keluarga tidak sihat.

"Jerebu sejak beberapa hari lalu mengakibatkan penduduk setempat batuk, sakit tekak dan demam.

"Selepas masalah pencemaran asap tebal dari tempat pembakaran sampah terbuka berdekatan kampung ini sebelum ini, kini masalah jerebu pula. Kita harap masalah ini cepat ditangani," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Nausad
Nausad

Penduduk Kampung Sentosa, Nausad Abo, 49, pula berkata, jerebu paling teruk berlaku antara jam 11 pagi sehingga 12 tengah hari yang kelihatan seakan-akan mendung tetapi cukup berbahang

"Sampaikan langit dan kat depan sama, nampak putih sahaja. Sebelah petang baru ok sikit kerana ada angin bertiup," ujarnya.

Penduduk Kampung Sentosa Damai, Zulkifli Mohamad, 62, berkata, jerebu di kawasannya masih terkawal dan penduduk meneruskan aktiviti seperti biasa.

Zulkifli
Zulkifli

"Walaupun keadaan jerebu belum ke tahap serius di kampung ini, penduduk tetap berjaga-jaga selain bimbang keadaan bertambah teruk," katanya.

Dia berharap kerajaan segera mencari penyelesaian termasuk menghasilkan pembenihan awan untuk menghasilkan hujan kerana dalam keadaan cuaca panas terik susah untuk melenyapkan jerebu.