Tunai hajat nenek, lapan sepupu sanding serentak

Kasinah (duduk) bergambar bersama tujuh daripada lapan cucunya serta pasangan masing-masing yang bersanding serentak pada Sabtu.
Kasinah (duduk) bergambar bersama tujuh daripada lapan cucunya serta pasangan masing-masing yang bersanding serentak pada Sabtu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Lapan sepupu bersama pasangan masing-masing diraikan dalam majlis persandingan beramai-ramai di Grand Sabak Hotel and Mini Convention Centre di sini, pada Sabtu.

Bapa kepada tiga pasangan pengantin, Osman Munadi, 61, berkata, majlis itu diadakan bagi memenuhi hasrat ibunya, Kasinah Kasbullah, 85, yang ingin melihat lapan cucunya itu bersanding serentak.

Menurutnya, meskipun ada di antara pasangan pengantin yang sudah bernikah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira dua tahun lalu, namun mereka turut diraikan sebagai mempelai.

"Emak memang berharap sangat hendak melihat cucu-cucunya bersanding atas pelamin sama sebab ada di antara mereka tidak berkesempatan semasa PKP lalu.

"Saya dan adik-beradik lain bersyukur sebab dapat mengumpulkan mereka dalam satu majlis yang dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Osman yang juga pesara polis memberitahu, tiga anaknya dan pasangan turut diraikan pada majlis berkenaan.

Anaknya, Mohd Azmie Osman, 29, dan isterinya, Siti Salwani Ibrahim, 28, teruja untuk bersanding biarpun dianggap 'pengantin lama'.

Mohd Azmie berkata, mereka bernikah pada 27 November 2021 dan hanya mengadakan majlis kenduri secara kecil-kecilan berikutan pelaksanaan PKP.

Artikel Berkaitan:

"Kami gembira dapat mengabadikan detik bersejarah dalam hidup pada majlis perkahwinan beramai-ramai ini," kata penyelia sebuah syarikat swasta di Bukit Jelutong itu.

Abangnya, Mohd Razif Osman, 34, berkata, majlis itu amat bermakna kepada dia dan isteri, Nur Amirah A Shukor, 32, yang bernikah pada 3 Mei lalu.

Katanya, sebelum ini, majlis persandingan mereka hanya diadakan sebelah keluarga isterinya di Muar Johor.

"Majlis hari ini dianggap unik kerana jarang majlis bersanding ramai-ramai dan berharap ia menjadi kenangan berharga dalam hidup kami yang boleh dikenang hingga akhir hayat," katanya yang menetap di Seksyen 7 Shah Alam.

Bagi pasangan pengantin baharu, Amirul Fiqri Suratin, 23, dan Faqihah Abu Hassan, 23, majlis disertai mereka itu amat meriah lebih-lebih lagi mereka baru sahaja disatukan pada 22 September lalu.

Ujar Amirul, majlis perkahwinan sebelum ini turut diadakan di kedua belah rumah pengantin lelaki dan perempuan di Nyalas, Jasin Melaka.

"Kami bersyukur sebab dapat merasa mengikuti majlis perkahwinan beramai-ramai dan memenuhi impian nenek hendak melihat semua cucu dan pasangan naik pelamin," jelasnya.

Selain tiga pasangan itu, turut diraikan Siti Hawa Osman, 27, dan pasangannya, Muhammad Azrul Nasikin, 27; Muhamad Iqbal Roslan, 27, dan Nur Syafiqah Azman, 27; Ahmad Hazim Azman, 24, dan Nurul Syafiqah Alias, 25.

Turut menyertai persandingan itu, Muhammad Fahmirul Mohd Yazid, 29, dan Aina Izati Suratin, 25; Abid Rafiqin Sarwani, 27, dan Nur Khartika Kamarul Zaman, 27.