PRK Pelangai: Redah hujan, bonceng motosikal balik mengundi

Dari kiri: Nurul Ain Najwa Amat Azahar, 20, Nur Ifa dan Norliana Ayuni Rafie, 21, selesai membuang undi di SMK Chemomoi sempena PRK DUN Pelangai.
Dari kiri: Nurul Ain Najwa Amat Azahar, 20, Nur Ifa dan Norliana Ayuni Rafie, 21, selesai membuang undi di SMK Chemomoi sempena PRK DUN Pelangai.
A
A
A

BENTONG - [DIKEMAS KINI] Seorang pengundi pulang menunggang motosikal dari Petaling Jaya, Selangor demi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Pekerja swasta, Ahmad Amir Daniel Ahmad Yumazarki, 24, berkata, dia menempuh perjalanan selama lebih dua jam melalui Jalan Karak-Simpang Pelangai.

Ahmad Amir Daniel
Ahmad Amir Daniel

Katanya, walaupun laluan tersebut agak bahaya dan berliku, dia tidak mempunyai pilihan lain yang lebih menjimatkan masa.

"Lagipun saya dah biasa balik kampung lalu jalan tu. Jam 5 petang semalam saya balik tapi cuaca hujan. Malam baru sampai.

"Walaupun orang kata orang muda tak minat politik dan mengundi, itu pilihan masing-masing semua kena terima dengan hati terbuka.

"Tapi bagi saya, ini tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia," katanya ditemui pemberita selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Menengah (SMK), Chemomoi, di sini pada Sabtu.

Sementera itu, seorang lagi pengundi, Nur Ifa Irmanina, 21, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk mengundi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia memilih hadir membuang undi pada awal pagi kerana cuaca lebih baik dan perjalanan lebih lancar.

"Bila keluar lambat nanti dah petang panas dan beratur panjang," katanya.

Seramai 16,456 pengundi bakal menentukan wakil rakyat baharu mereka menerusi PRK DUN Pelangai pada Sabtu.

PRK kawasan itu perlu diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Pertandingan merebut kerusi tersebut menyaksikan persaingan tiga penjuru apabila Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon Kasim Samat yang juga bekas calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Manakala, BN meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam dan seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga bertanding.