Peniaga setuju ikon Kelantan dibaik pulih

Laporan Sinar Harian pada Selasa susulan kejadian bongkah batu jatuh di tingkat satu Pasar Siti Khadijah
Laporan Sinar Harian pada Selasa susulan kejadian bongkah batu jatuh di tingkat satu Pasar Siti Khadijah
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga di Pasar Siti Khadijah dekat sini mahu pasar itu dibaik pulih seiring dengan projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang dijangka siap tahun depan.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah, Ahmad Nazri Che Omar berkata, sehingga kini lebih 1,000 peniaga berniaga di pasar itu mengakui mereka memerlukan penyelenggaraan secara menyeluruh.

Ahmad Nazri yang mewakili peniaga Pasar Siti Khadijah berkata, banyak kerosakan yang berlaku itu mampu mengancam nyawa peniaga serta pelancong selain menjejaskan ekonomi penduduk di Kota Bharu.

"Dikatakan lebih empat juta pelancong akan ke negeri ini apabila LTSIP siap sepenuhnya. Jadi kami harap pasar ini lebih cantik dan selesa tahun depan," katanya di sini.

Beliau pada masa sama akan memaklumkan perkara itu kepada wakil kerajaan negeri jika ada pertemuan walaupun sudah beberapa kali memberitahu perkara sama.

"Saya akan bercerita perkara sama kerana pasar ini merupakan ikon dalam pelancongan di Kelantan dan memang dikenali sehingga ke luar negara," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim mahu naik taraf pasar itu menjadi keutamaan berikutan merupakan ikon penting bandar ini.

Artikel Berkaitan:

Ia juga susulan kejadian dua bongkah simen yang jatuh di tingkat dua akibat aliran air bocor dan besi reput.

Dr Hafidzah turut memaklumkan penyelenggaraan perlu dibuat secara menyeluruh termasuk di bahagian bumbung kerana air memasuki fius elektrik yang boleh mengakibatkan litar pintas

Turut diambil perhatian ialah sistem perparitan yang menimbulkan bau kurang menyenangkan.