PR1MA kongsi kepakaran dengan Afrika

Pegawai PR1MA memberi penerangan berkenaan projek yang dilaksanakan agensi itu.
Pegawai PR1MA memberi penerangan berkenaan projek yang dilaksanakan agensi itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berkongsi pandangan dan pengalaman operasinya dengan rakan-rakan antarabangsa dari benua Afrika dalam pelaksanaan projek kediaman mampu milik berkualiti, baru-baru ini.

Agensi perumahan utama di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berkata, ia susulan lawatan delegasi itu ke negara ini, dalam memahami amalan terbaik Malaysia dalam sektor perumahan.

Menurutnya, delegasi itu turut berpeluang melihat sendiri kejayaan PR1MA dalam menyediakan kediaman mampu milik yang berkualiti kepada rakyat.

“Lawatan ini turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak berkongsi pengetahuan berkenaan model perumahan mampu milik yang efektif, fasiliti pembiayaan perumahan, perancangan bandar, dan penggunaan teknologi dalam projek-projek perumahan.

“PR1MA telah berkongsi maklumat tentang penyediaan 53,646 unit kediamannya di seluruh negara. Projek-projek ini turut memberi penekanan kepada pembangunan komuniti daripada pelbagai aspek seperti kesejahteraan dan keselamatan, sosioekonomi dan pembangunan sosial para penduduknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Delegasi Afrika dan Matrade bergambar bersama pengurusan PR1MA.
Delegasi Afrika dan Matrade bergambar bersama pengurusan PR1MA.

Lawatan itu dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bersama Kementerian Luar Negeri (KLN) di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (Malaysian Technical Cooperation Programme - MTCP) serta Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi program 'Third Country Training Programme 2023: Trade Promotion for African Countries' (TCTP 2023).

Dalam sesi itu juga, delegasi didedahkan dengan operasi penyediaan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi serta pengurusan fasiliti berkualiti PR1MA melalui dua anak syarikatnya iaitu PR1MA Communications Sdn Bhd (PCSB) dan PR1MA Facilities Management Sdn Bhd (PFMSB).

Artikel Berkaitan:

“Penyediaan perkhidmatan ini adalah sebahagian daripada komitmen dan usaha PR1MA untuk memastikan rakyat Malaysia dapat tinggal dalam komuniti yang holistik dan memenuhi keperluan para pembeli.

“Para delegasi dari negara-negara Afrika menyambut baik peluang untuk memahami amalan terbaik Malaysia dalam sektor perumahan dan melihat sendiri kejayaan PR1MA dalam menyediakan kediaman mampu milik yang berkualiti kepada rakyat,” jelasnya.

PR1MA menambah, lawatan itu juga merupakan satu langkah positif dalam memperkuat hubungannya dengan rakan-rakan antarabangsa dalam sektor perumahan serta memberikan peluang untuk pertukaran pengetahuan dan teknologi inovatif dalam usaha bagi memperkasa sektor perumahan di Malaysia.