Ada pemimpin hubungi pihak pasar raya sebelum 'terjah' - MTPN Johor

Noorman (tengah) bersama Enny Suhailis (depan) dan Masrudi (kanan, belakang) melawat pameran Perkeso Johor dalam Kempen Bazar Amal dan Kempen Derma Darah di Aeon Mall Kulaijaya pada Jumaat.
Noorman (tengah) bersama Enny Suhailis (depan) dan Masrudi (kanan, belakang) melawat pameran Perkeso Johor dalam Kempen Bazar Amal dan Kempen Derma Darah di Aeon Mall Kulaijaya pada Jumaat.
A
A
A

KULAI - Pemimpin di negeri ini yang mahu meninjau masalah beras di pasar raya atau mana-mana premis perlu jujur supaya masalah bekalan bahan makanan itu benar-benar dapat diatasi.

Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Johor, Noorman Kamsani berkata, ini kerana terdapat pegawai yang mewakili pemimpin tertinggi kerajaan negeri telah memaklumkan sebuah pihak pengurusan pasar raya di sini sebelum datang meninjau bekalan beras.

"Contohnya baru-baru ini, beberapa hari sebelum pemimpin berkenaan datang melakukan pemeriksaan bekalan beras di sebuah pasar raya, seorang pegawai pemimpin berkenaan sudah memberitahu pengurus dan pihak pengurusan pasar raya terbabit mahu datang tengok bekalan beras.

"Ini tidak jujur namanya sedangkan sebelum ini pasar raya terbabit mengalami masalah bekalan beras.

"Bila orang ramai merungut beras tiada dan pemimpin pun datang 'meninjau' dan dia kata bekalan beras ada, ini tidak betul. Apabila pemimpin tertinggi maklum mahu datang sudah pasti pasar raya terbabit akan sediakan bekalan beras," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kempen Bazar Amal dan Kempen Derma Darah di pusat beli belah Aeon Mall Kulaijaya di sini pada Jumaat.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Johor, Enny Suhailis Suleiman; Setiausaha Agung MTPN, Masrudi Abdul Rahman dan Presiden kebangsaan Yayasan Masyarakat Lestari Malaysia (YMLM), Dany Teh Thiam Fatt.

Beliau mengulas tindakan seorang pemimpin di negeri ini melakukan lawatan ke sebuah pasar raya di Pasir Gudang minggu lalu selepas memaklumkan pihak pengurusan pasar raya itu bertujuan memeriksa bekalan beras dikatakan terputus bekalan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Noorman berkata, sepatutnya pemimpin berkenaan yang datang bersama-sama agensi penguat kuasa perlu melakukan pemeriksaan mengejut untuk mengetahui situasi sebenar.

"Jika caranya begini sampai bila masalah bekalan beras tidak akan selesai.

"Turun padang terjah lepas itu siasat apa puncanya bekalan beras tidak ada termasuk barang makanan lain, lepas itu carilah penyelesaiannya," ujar beliau.