PRK Pelangai: SPR sasar 75 peratus keluar mengundi esok

Abdul Ghani - Foto Bernama
Abdul Ghani - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi sehingga 75 peratus ke atas berbanding 78 peratus sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai dijangka diumumkan seawal jam 9 malam.

Menurutnya, pengiraan dibuat membabitkan sembilan pusat mengundi dan 30 saluran di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.

"Kita menyeru semua pengundi dapat keluar mengundi supaya dapat semarak semangat demokrasi.

"Harap pengundi keluar mengundi ikut masa ditetapkan dan jangan lupa bawa kad pengenalan," katanya ditemui selepas meninjau persiapan PRK DUN Pelangai di sini pada Jumaat.

PRK DUN Pelangai diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Perikatan Nasional (PN) menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada PRU15 lalu, Kasim Samat yang mesra dengan panggilan Cikgu Kasim.

BN pula meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam, manakala seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga bertanding merebut kerusi tradisi UMNO itu.

Artikel Berkaitan:

Seramai 16,383 orang pengundi bakal mengundi bagi memilih wakil rakyat baharu mereka esok, manakala 73 pengundi menjalankan tanggungjawab mengundi pos.

Proses pengundian bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Bagi tiga calon yang bertanding, hanya Kasim yang akan mengundi di DUN Pelangai iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, memandangkan Amizar dan Haslihelmy masing-masing merupakan pengundi di DUN Ketari, juga dalam Parlimen Bentong.