Dakwaan ADUN BN akan sertai PN, cubaan cetus ketidakstabilan politik

Ahmad Saifullah
Ahmad Saifullah
A
A
A

BENTONG - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) ingin menyertai Perikatan Nasional (PN) satu cubaan untuk mencetuskan ketidakstabilan politik di Pahang.

Setiausaha AMK Pahang, Ts Ahmad Saifullah Razali berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Muhyiddin itu dalam ucapannya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kenyataan itu secara jelas suatu penipuan dan taktik jahat untuk mendapatkan sokongan dan kuasa.

"Kesemua ADUN dari BN secara terbuka menyatakan kesetiaan mereka kepada parti BN dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Sekiranya perbuatan ini diteruskan oleh pemimpin-pemimpin PN, kami khuatir ia akan menakutkan pelabur luar yang ingin melabur di negeri Pahang," katanya.

Exco AMK itu menjelaskan, kestabilan politik adalah perkara asas untuk menarik pelabur di negeri ini.

Katanya, ketidakstabilan politik akan membantutkan ekonomi negeri Pahang.

"Kerajaan Perpaduan di Pahang di bawah kepimpinan Wan Rosdy dan Kerajaan Perpaduan di Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bekerja keras untuk membangunkan dan memajukan negeri Pahang.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua tokoh ini adalah gandingan terbaik dalam memastikan negeri Pahang terus ditadbir dengan tata kelola yang baik dan tersusun. PN tidak mempunyai sebarang track record yang baik dalam mentadbir negeri mahupun negara," kata Ahmad Saifullah.

Susulan situasi tersebut, AMK Pahang menyeru kepada pengundi terutama anak muda di Pelangai untuk menoktahkan terus cubaan jahat pihak PN untuk mewujudkan ketidakstabilan politik di Pahang.

"Anak muda khusus diminta keluar beramai-ramai bagi mengundi calon BN pada esok (Sabtu)," tambah beliau yang juga koordinator AMK bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.