Cakap Zahid boleh percayakah? - Rosli

Rosli. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Rosli. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

BENTONG - Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) akan melompat parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) disifatkan tidak boleh dipercayai.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, sebaliknya kenyataan Ahmad Zahid mungkin respons kepada isu empat ADUN BN yang dikatakan akan menyertai PN, selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai.

"Jadi, semalam Ahmad Zahid pula bagi kenyataan konon ADUN kita (PN) akan 'melompat', mungkin tindakan balas daripada itu BN akan melompat parti.

"Jadi, tidak perlu kami hendak gelabah sampai buat ikrar pula. Saya yakin bukan sahaja kami ADUN PN dan rakyat tidak percaya dengan kenyataan Ahmad Zahid. Entah-entah Ahmad Zahid sendiri pun tidak percaya apa dia cakap," katanya pada Jumaat.

Pada Khamis, Ahmad Zahid mendedahkan beliau menerima maklumat dalaman bahawa beberapa ADUN PN mahu menyokong gabungan BN-PH di Pahang.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ceramah perdana di Felda Chemomoi turut mendakwa ada kemungkinan ADUN BN akan menyertai PN sekiranya gabungan itu menang pada PRK Pelangai.

Dakwaan Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun diselar Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyifatkan kenyataan itu adalah satu bentuk fitnah bertujuan mengelirukan dan menakutkan rakyat serta pengundi menjelang PRK Pelangai.

Wan Rosdy turut memaklumkan semua 15 ADUN BN menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri pimpinannya dan perkara itu dimaklumkan sendiri semua ADUN terbabit kepadanya semalam.

Artikel Berkaitan:

"Mereka semua beri jaminan akan terus berdiri teguh dengan kerajaan yang ada pada hari ini dan menyokong kepimpinan saya," katanya.

Komposisi yang membentuk kerajaan negeri Pahang ketika ini terdiri 16 ADUN BN dan lapan ADUN PH, manakala PN mempunyai 17 ADUN.

Pahang antara negeri yang belum menguatkuasakan undang-undang anti lompat parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober tahun lalu.