Makmal analisis mineral beroperasi tahun depan - Saarani

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Makmal analisis mineral menentusahkan kandungan elemen mineral termasuk unsur nadir bumi lantanida yang bakal dibina oleh kerajaan Perak dijangka memulakan operasi tahun hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan makmal tersebut merupakan inisiatif terbaharu kerajaan negeri susulan kejayaan membangunkan projek perintis industri perlombongan lantanida di Mukim Hulu Kenering, daerah Hulu Perak.

Menurutnya, dengan kewujudan makmal itu kelak dapat merancakkan lagi industri mineral selari dengan agenda perlombongan bertanggungjawab yang menekankan keseimbangan ekosistem seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

"Selain menyediakan kepakaran menganalisis dan menentusahkan kandungan elemen nadir bumi, makmal berkenaan juga membantu membangunkan pangkalan data untuk rujukan pada kerajaan negeri dalam membangunkan industri nadir bumi serta mengurangkan kebergantungan pihak industri kepada makmal luar negara.

"Pada masa yang sama, makmal analisis mineral ini juga akan berupaya membantu Perak menjadi pemangkin di peringkat huluan yang akhirnya akan memberi nilai tambah kepada peringkat pertengahan dan peringkat hiliran di masa depan sekali gus menjadi penanda aras penting bagi pembangunan industri nadir bumi," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Saarani berkata, selain menyediakan kepakaran menganalisis dan menentusahkan kandungan elemen nadir bumi, makmal berkenaan juga membantu membangunkan pangkalan data untuk rujukan pada kerajaan negeri dalam membangunkan industri nadir bumi serta mengurangkan kebergantungan pihak industri kepada makmal luar negara.

Menurutnya, penubuhan makmal berkenaan juga mampu menjadikan negeri Perak sebuah hab yang komprehensif bagi industri mineral serta menjadi sumber rujukan negeri-negeri di Malaysia dan juga negara lain.

Pada Rabu, Saarani mengumumkan kerajaan negeri Perak akan membina makmal mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang pertama di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkara itu sudah mendapat persetujuan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) ketika Mesyuarat Mineral Negara pada Isnin.

Makmal tersebut akan dibangunkan bersama oleh Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).