MyCC, KPDN ambil serius dakwaan kartel beras

Armizan Mohd Ali. - Bernama
Armizan Mohd Ali. - Bernama
A
A
A

KUNDASANG - Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali telah mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menghubungi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhammad Akmal Salleh mengenai dakwaan adanya kartel beras.

Armizan berkata, arahan yang telah dikeluarkan semalam itu adalah bagi mendapatkan maklumat dan sebarang bukti untuk membantu siasatan lanjut dakwaan itu, dan pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak.

Beliau berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap sebarang aduan yang menyentuh kepentingan rakyat sebagaimana siasatan menyeluruh yang telah dilaksanakan mengenai dakwaan terkait kartel dalam ekosistem industri bekalan makanan ayam sebelum ini.

"Peranan dan tanggungjawab KPDN hadir dalam penguatkuasaan bagi elemen-elemen tertentu yang terkait dengan Akta Perlindungan Pengguna dan Akta Perihal Dagangan.

"Namun, sekiranya ada dakwaan yang disebut berkaitan kartel beras, KPDN boleh melaksanakan siasatan melalui MyCC yang mempunyai kuasa menyiasat kartel di bawah Akta Persaingan 2010,” katanya kepada pemberita selepas menutup Minggu Sains dan Teknologi Untuk Pengurangan Risiko Bencana dan Daya Tahan (STDR3) dan Pengurusan Risko Bencana Berasaskan Komuniti Menggunakan Teknologi ICT di Kem Wawasan di sini pada Khamis.

Pada Isnin (2 Oktober), Muhammad Akmal dilaporkan mendakwa adanya kartel beras yang menggunakan modus operandi menjual beras tempatan sebagai beras hancur, kerana beras hancur boleh dijual dengan harga bukan kawalan.

Armizan berkata, dalam tadbir urus kerajaan, pihak terlibat dalam pembangunan dan penguatkuasaan padi dan bekalan beras berkaitan bekalan dan harga dari peringkat pengilangan sehingga peruncitan adalah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras.

Mengenai program itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkata STDR3 diadakan Selasa lalu (3 Oktober) hingga esok (6 Oktober) bertujuan mengaplikasikan sains dan teknologi dalam pengurangan risiko bencana dan pengukuhan daya tahan komuniti.

Artikel Berkaitan:

"Program seumpama ini merupakan satu langkah penting dalam usaha kerajaan untuk memperkenalkan, meningkatkan kefahaman dan menerapkan peranan sains dan teknologi dalam meminimumkan risiko bencana serta meningkatkan daya tahan masyarakat,” katanya.- Bernama.