PRK Pelangai: Calon Bebas hairan jadi sasaran BN, PN

Haslihelmy - Foto Bernama
Haslihelmy - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli menyatakan rasa kehairanan dengan sikap jentera lawan khususnya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) apabila mendakwa menjadi sasaran pihak terlibat pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Sebagai calon yang bukan mempunyai nama besar, Haslihelmy mendakwa tindakan kedua-dua parti tersebut memetik namanya seolah-olah berasa gerun dengan kehadiran beliau dalam PRK tersebut, apatah lagi beliau diserang dengan kisah silamnya turut diungkit.

"Saya hairan, apa yang dibimbangi oleh BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional) kepada calon Bebas seperti saya?" katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Dalam sama sama, beliau turut berpandangan bahawa tindakan pihak lawan melakukan serangan tersebut bermungkinan kerana dirinya mempunyai potensi untuk menang di kawasan berkenaan.

"Adakah tanda awal saya hendak menang sehingga menyebabkan parti besar ini terus menyerang termasuk mengungkit kisah silam saya," katanya.

Beberapa hari lalu, tular satu gambar di aplikasi WhatsApp sejarah silam termasuk rekod jenayah yang didakwa pernah dilakukan oleh calon Bebas itu sebelum ini.

Nama Haslihelmy turut dibangkitkan oleh bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob yang meminta agar Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) itu tidak menggunakan nama beliau sepanjang berkempen.

Dalam ceramah perdana Pelangai PN pada Rabu pula, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa Haslihelmy menyeru penyokongnya supaya mengundi calon mereka iaitu Kasim Samat, Sabtu ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas dakwaan Takiyuddin, Haslihelmy bagaimanapun menafikan perkara itu sebaliknya mempersoalkan kenapa beliau perlu melakukan perkara demikian sedangkan dirinya juga bertanding.

"Kenapa saya perlu buang masa saya berkempen untuk orang lain. Saya tidak pernah berjumpa mana-mana pemimpin PN atau berikrar sokongan saya kepada mana-mana parti politik.

"Saya menghabiskan masa berjam-jam berkempen untuk diri saya sendiri. Seorang calon yang mempunyai simbol kereta dan saya percaya ini hanyalah percubaan untuk mengelirukan pengundi.

"Saya bertanding untuk memberi pilihan kepada pengundi di sini kerana ramai yang sudah bosan untuk meneruskan politik di negara ini," ujarnya.

Mengulas lanjut, Haslihelmy bagaimanapun berkata, serangan itu tidak melemahkan semangat untuknya terus berkempen sebelum menjelang hari pengundian.

"Saya bukan gajah, bukan juga kancil, saya hanya insan kerdil biasa yang mahu memberikan pilihan kepada pengundi dan rakyat di Pelangai.

"Sebagai anak jati Bentong, saya merasai kepayahan, kesusahan, keperitan dialami penduduk di Pelangai yang ketinggalan dari aspek pembangunan. Begitu juga peluang ekonomi dan perumahan generasi kedua Felda jika dibandingkan dengan kawasan kampung lain," katanya.

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam dicabar calon PN, Kasim Samat dan Haslihelmy.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).