Kilang sawit didenda RM12,000 lepaskan efluen lebih had

Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu
Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah syarikat kilang kelapa sawit didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana melepaskan air buangan atau efluen melebihi had ditetapkan.

Hakim Nooriah Osman menjatuhi hukuman denda itu selepas wakil syarikat mengaku bersalah melepaskan efluen dengan kandungan melebihi had ditetapkan di bawah Syarat Jadual Pematuhan Lesen dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127).

Kesalahan di bawah Seksyen 16 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 itu didakwa dilakukan pada 26 September 2022 di sebuah kilang kelapa sawit yang beroperasi di daerah Dungun.

Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa melepaskan efluen melebihi had-had bagi parameter Oksigen Biokimia yang diperlukan (BOD), tiga hari, 30 Celcius (°C) yang mempunyai kepekatan sebanyak 162 miligram per liter melebihi had ditetapkan iaitu 100 mg/l dan Pepejal Terampai (SS) yang mempunyai kepekatan 488 mg/L melebihi had ditetapkan iaitu 400 mg/l.

Sementara itu, di Kemaman, sebuah premis di Kampung Bukit Kuing, Mukim Banggul didenda RM12,000 atas dakwaan menjadikan premis sebagai kemudahan pemerolehan kembali luar tapak tanpa lesen oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Hakim Mahkamah Sesyen Kemaman, Wan Suhaila Mohd menjatuhi hukuman itu selepas pemiliknya mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut pada 27 September lalu.

Mengkut pertuduhan, pihak syarikat telah menjadikan premis berkenaan sebagai kemudahan pemerolehan kembali luar tapak tanpa terlebih dahulu memegang suatu lesen di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman denda maksimum tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd. Rahman dalam kenyataan pada Khamis berkata, kemudahan pemerolehan kembali luar tapak buangan terjadual hanya boleh diuruskan di premis-premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja.

Katanya, ia bagi mengelakkan isu-isu pencemaran daripada aktiviti pemprosesan tanpa mengikut prosedur yang betul dan tidak menggunakan alat kawalan pencemaran yang sesuai.

Jelas beliau, ia juga bagi mengelakkan pelupusan haram buangan atau sisa yang tidak boleh dikitar semula ke atas tanah, longkang, sungai dan sebagainya.

Ramli turut menasihati orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar kepada pihak berkuasa.

"Laporan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my atau melalui portal e-aduan JAS," katanya.