Maxis Berhad sumbang laptop kepada lima sekolah

Mohd Azlan (tengah) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada wakil sekolah ketika Majlis Penyerahan Laptop dan Program E-Kelas Melalui CSR Maxis Berhad di SMK Malim Nawar, di sini pada Rabu.
Mohd Azlan (tengah) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada wakil sekolah ketika Majlis Penyerahan Laptop dan Program E-Kelas Melalui CSR Maxis Berhad di SMK Malim Nawar, di sini pada Rabu.
A
A
A

MAXIS Berhad menyumbang 30 unit komputer riba kepada lima sekolah di Perak menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut.

Lima sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar, SMK Toh Indera Wangsa Ahmad, SMK Simpang Pulai serta SMK Sultan Muhammad Shah.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, usaha itu merupakan satu lagi program silang portfolio yang dilaksanakan bersama-sama portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.

Jelasnya, program tersebut juga merupakan CSR pertama melibatkan syarikat telekomunikasi untuk pelajar sekolah yang berjaya dibawa ke negeri ini.

"Kita amat mengalu-alukan kehadiran syarikat-syarikat telekomunikasi ke negeri ini bagi menambah baik liputan talian di seluruh negeri. Pada masa yang sama kita harap juga syarikat-syarikat ini melaksanakan CSR mereka di sini.

“Bidang pendidikan ini bukan hanya terletak di bahu Kementerian Pendidikan dan pihak yang terlibat dalam bidang ini semata-mata, sebaliknya ia adalah tanggungjawab kita bersama. Jadi dengan adanya penglibatan yang didukung oleh sektor swasta ia bukan hanya mampu memberi nilai tambah kepada bidang pendidikan itu sendiri, malah secara tidak langsung berupaya meningkatkan prestasi para pelajar ini ke arah lebih baik,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Laptop dan Program E-Kelas Melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Maxis Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar, di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Mohammad Fauzi Mahson dan Ketua Rangkaian Maxis Berhad, Abdul Karim Ali.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sumbangan yang dilaksanakan oleh Maxis Berhad dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak itu merupakan satu inisiatif yang digerakkan bagi membina komuniti celik digital dan memperkasakan para pelajar selain merealisasikan hasrat melahirkan modal insan berkemahiran digital serta bersifat inklusif.

Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, pelancaran Program e-Kelas pula merupakan sebuah program komuniti perdana Maxis yang membawa kandungan pembelajaran digital percuma kepada pelajar sekolah bermula dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5 melalui pelbagai subjek seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Katanya, sehingga kini seramai 3,000 pelajar di Perak telah mendaftar bagi mengikuti program e-Kelas itu yang menyediakan kandungan seperti sesi pembelajaran dalam talian secara interaktif, disokong dengan video penerangan yang menarik, nota padat dan kuiz yang membantu dalam menambah pengetahuan serta kemahiran para pelajar.

"Kerajaan negeri Perak berharap lebih banyak pihak swasta dan syarikat korporat terlibat secara langsung dalam program berteraskan CSR ini khususnya dalam menyumbang kepada pemerkasaan dalam bidang pendidikan.

"Sumbangan yang meliputi kemudahan peralatan persekolahan termasuk peranti mudah alih selain program berunsur pendidikan digital amat ditagih bagi memberi ruang dan peluang kepada para pelajar kurang berkemampuan merentangi pelbagai golongan serta warna kulit untuk memperkasakan diri dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata, ia juga adalah salah satu pendekatan dalam mengurangkan jurang digital di antara semua sekolah tidak kira sama ada sekolah kluster, sekolah pinggir bandar, sekolah pendalaman, sekolah agama dan sebagainya.