Polis berkas suspek samun kedai serbaneka

Lokasi sekitar kedai serbaneka yang disamun seorang lelaki di Jalan Losong Haji Mat Shafie, Chabang Tiga di Kuala Terengganu pada Rabu.
Lokasi sekitar kedai serbaneka yang disamun seorang lelaki di Jalan Losong Haji Mat Shafie, Chabang Tiga di Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kampung Losong Haji Mat Shafie di sini, pada awal pagi Rabu.

Suspek berusia 27 tahun itu ditahan anggota polis di Jalan Losong Masjid di sini, kira-kira jam 4.15 petang pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita berhubung kejadian samun di kedai serbaneka itu sekitar jam 5.48 pagi di Balai Polis Chabang Tiga di sini.

Menurutnya, ketika kejadian wanita itu sedang membeli barang keperluan di kedai berkenaan kira-kira jam 5.15 pagi dan terdapat seorang pekerja berusia 20 tahun ketika itu sebelum didatangi lelaki berkenaan.

"Suspek yang berpakaian penutup separuh muka dengan bersenjatakan sebilah pisau memasuki kedai dan meluru ke kaunter bayaran.

"Kedua-dua mangsa yang berada dalam ketakutan kemudian berjaya menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari premis berkenaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Rahim memberitahu, suspek didapati telah melarikan beberapa kotak rokok dan wang tunai RM230.

"Usaha memburu suspek dijalankan dan pihak polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan samun itu sekitar jam 4.15 petang pada Rabu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan merompak.