Skuasy beri harapan kontinjen negara hampiri sasaran

Sivasangari (kanan) berpeluang memperbaiki pencapaian perak yang diraih pada edisi lepas apabila dijadual menentang wakil Hong Kong Chan Sin Yuk. - Foto Bernama
Sivasangari (kanan) berpeluang memperbaiki pencapaian perak yang diraih pada edisi lepas apabila dijadual menentang wakil Hong Kong Chan Sin Yuk. - Foto Bernama
A
A
A

WALAUPUN tiada sebarang pingat dituai, Malaysia sekurang-kurangnya sudah mengesahkan tiga kilauan perak pada hari ke-11 temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 hari ini, untuk melengkapkan sasaran 27 pingat ditetapkan dengan bergaya.

Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou sekali lagi menjadi tumpuan apabila kem negara berjaya mara ke final dalam tiga kategori, sekali gus berpeluang menambah koleksi emas selepas Malaysia merangkul emas dalam acara berpasukan wanita Sabtu lepas.

Gandingan Mohammad Syafiq Mohd Kamal-Aifa Azman berpeluang mencipta sejarah sebagai juara beregu campuran pertama dalam Sukan Asia, namun berdepan tugas getir apabila bakal berdepan pilihan utama dari India Dipika Pallikal-Harinder Pal Singh Sandhu di pentas final, esok.

Dalam acara perseorangan wanita, S. Sivasangari berpeluang memperbaiki pencapaian perak yang diraih pada edisi lepas apabila dijadual menentang wakil Hong Kong Chan Sin Yuk.

Turut ke final adalah perseorangan lelaki Ng Eain Yow yang merupakan pilihan utama kejohanan dan akan bertemu pemain India Saurav Ghosal.

Di sebalik siri kontroversi di luar gelanggang, perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia mara ke suku akhir selepas menundukkan juara dunia dari Thailand Kunlavut Vitidsan di Gimnasium Binjiang.

Pemain di ranking ke-16 dunia itu bangkit mencatat kemenangan dramatik 10-21, 21-19, 21-6 di depan penonton yang memberikan sokongan padu kepadanya.

Kem badminton negara turut mengesahkan tempat di suku akhir acara perseorangan lelaki menerusi Ng Tze Yong serta beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah dan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Artikel Berkaitan:

Di Pusat Sukan Fuyang Yinhu, duo Mohd Juwaidi Mazuki-Fatin Nurfatehah Mat Salleh gagal mencipta kejutan ke atas gandingan India Ojas Pravin Deotale-Jyothi Surekha Vennam, selepas tewas 155-158 di suku akhir compound berpasukan campuran, sekali gus harapan terletak kepada trio compound berpasukan lelaki untuk menjelmakan pingat esok.

Sementara itu, atlet terjun muda Bertrand Rhodict Lises terus melakar pencapaian memberangsangkan pada penampilan pertamanya di Sukan Asia apabila menamatkan final 10 meter (m) platform lelaki di kedudukan keempat selepas mengumpul keseluruhan 434.85 mata.

Esok, kem karate akan memulakan cabaran pusingan awal, selain pasukan sepak takraw yang akan turun dalam aksi Kumpulan A acara regu lelaki berdepan Vietnam dan Singapura, dalam misi menghadiahkan emas.

Setakat malam ini, Malaysia berada di kedudukan ke-16 selepas meraih tiga emas, empat perak dan 16 gangsa atau sejumlah 23 pingat, manakala China terus kekal di persada dengan kutipan 171-94-51, diikuti Jepun di tempat kedua (37-51-59) dan Korea Selatan ketiga (33-45-70). - Bernama