'Tiada rezeki, kami sudah buat terbaik' - Azeem

Kuartet lelaki negara (dari kiri) Khairul Hafiz,Muhammad Arsyad, Jonathan Nyepa dan Azeem selepas tamat acara 4x100m di Stadium Olimpik Hangzhou malam Selasa. Foto Bernama
Kuartet lelaki negara (dari kiri) Khairul Hafiz,Muhammad Arsyad, Jonathan Nyepa dan Azeem selepas tamat acara 4x100m di Stadium Olimpik Hangzhou malam Selasa. Foto Bernama
A
A
A

BAGAI tiada kata-kata yang mampu diungkap selain perasaan bercampur baur apabila penyertaan kuartet lelaki negara dalam acara 4x100 meter (m) Sukan Asia Hangzhou 2022 pada malam Selasa dibatalkan.

Mewakili rakan seperjuangan lain, pelari pecut Muhammad Azeem Fahmi meluahkan kekecewaan itu selepas mengetahui perkara tersebut.

"Saya boleh kata rasa kecewa. Bukan rezeki kami, tiada tuah buat kami kali ini.

Azeem (dua dari kiri) ketika beraksi dalam acara 4x100m akhir dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Olimpik Hangzhou pada malam Selasa. Foto Bernama
Azeem (dua dari kiri) ketika beraksi dalam acara 4x100m akhir dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Olimpik Hangzhou pada malam Selasa. Foto Bernama

"Saya sendiri pun tak tahu nak cakap apa. Kami sudah buat yang terbaik. Kami satu pasukan sedih dengan keputusan ini (penyertaan dibatal)," katanya.

Kuartet negara dibarisi Khairul Hafiz Jantan sebagai pelari pertama diikuti Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa dan Azeem mencatat masa 39.19 saat (s) untuk menamatkan saingan di tangga kelima.

Masa itu hanya 0.10s memisahkan catatan mereka dengan rekod kebangsaan iaitu 39.09s yang dilakar pada temasya Sukan SEA Hanoi dua tahun lalu.

Acara itu dimenangi kuartet tuan rumah, China dengan catatan 38.29s, manakala kuartet Jepun menerusi catatan 38.44s meraih perak.

Artikel Berkaitan:

Pingat gangsa pula menjadi milik Korea Selatan dengan catatan 38.74s.

Menjelaskan mengenai pembatalan itu, Azeem yang berpangkalan di Amerika Syarikat memberitahu, ia melibatkan kesalahan pencerobohan lorong larian salah seorang daripada mereka.

Berdasarkan keputusan rasmi di laman Sukan Asia 2022, kuartet negara didapati melakukan kesalahan TR17.3.1 iaitu melakukan pencerobohan lorong, sekali gus menyaksikan kedudukan kelima menjadi milik kuartet Indonesia.

"Kami pun tak tahu pelari mana yang buat kesilapan. Mungkin pelari pertama atau ketiga kerana pelanggaran garis boleh berlaku kepada pelari di bahagian selekoh.

"Menurut peraturan kalau terpijak garisan dalam dengan kaki kiri ia dikira memendekkan larian kerana melalui selekoh dalam," katanya.

Azeem sebelum itu meraih pingat gangsa dalam acara pecut 100m.