Sukan Asia: Malaysia dekati sasaran 27 pingat

Kuartet 4x100m wanita, yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Shereen Samson Vallabouy, mencipta kejutan apabila meraih gangsa tanpa dijangka. - Foto Bernama
Kuartet 4x100m wanita, yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Shereen Samson Vallabouy, mencipta kejutan apabila meraih gangsa tanpa dijangka. - Foto Bernama
A
A
A

KONTINJEN Malaysia mendekati sasaran 27 pingat di Sukan Asia kali ini esok, selepas menuai dua lagi pingat gangsa menerusi terjun dan olahraga pada hari ke-10 pertandingan, pada Selasa.

Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong menambah koleksi pingat meraih gangsa menerusi 10 meter (m) platform wanita, mengulangi pencapaian 13 tahun lepas ketika beliau membuat debut Sukan Asia menerusi gangsa di edisi Guangzhou, China pada 2010.

Kuartet 4x100m wanita, yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Shereen Samson Vallabouy, mencipta kejutan apabila meraih gangsa tanpa dijangka.

Selepas mencatatkan 45.01 saat (s) di kedudukan keempat, namun pembatalan larian pasukan Bahrain yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga kerana membuat lepasan baton di luar zon pertukaran, menyaksikan kuartet negara diangkat sebagai pemenang gangsa.

Namun, nasib berbeza dilalui kuartet 4x100m lelaki, yang dibatalkan penyertaan kerana kesalahan pencerobohan lorong.

Gandingan Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi sebelum itu menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 39.19s, yang hanya 0.1s perlahan berbanding rekod kebangsaan.

Secara teknikalnya, Kontinjen Malaysia boleh dikatakan hanya memerlukan sebutir pingat sahaja untuk mencapai sasaran pada temasya kali ini yang bakal menutup tirai pada Ahad ini (8 Oktober), selepas skuasy telah menjamin sekurang-kurangnya tiga gangsa apabila wakil negara berjaya melayakkan diri ke separuh akhir.

Bagaimanapun, warna pingat dan pengesahan secara rasmi pingat skuasy hanya akan dibuat selepas aksi separuh akhir hari esok atau final pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Tiga wakil negara yang akan berjuang dalam separuh akhir esok adalah pemain perseorangan lelaki Ng Eain Yow, perseorangan wanita S. Sivasangari dan beregu campuran Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman.

Setakat malam ini, Malaysia berada di kedudukan ke-15 selepas meraih tiga emas, empat perak dan 16 gangsa atau sejumlah 23 pingat, manakala dominasi China tidak dapat dicabar selepas kontinjen tuan rumah cemerlang merangkul 161 emas, 90 perak dan 46 gangsa untuk keseluruhan 297 pingat.

Sementara itu di Gimnasium Binjiang, pemain perseorangan lelaki Ng Tze Yong berjaya menyingkirkan Juara Dunia 2021 Loh Kean Yew dari Singapura untuk mara ke pusingan ketiga, manakala Lee Zii Jia pula bakal bertemu Juara Dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, esok.

Juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah, perseorangan wanita Goh Jin Wei serta dua beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut akan membuat perhitungan untuk ke suku akhir, esok.

Atlet sukan seperti ekuestrian, terjun, memanah, berbasikal lebuh raya (road cycling), kabbadi dan kriket turut akan beraksi esok. - Bernama