Selamba bawa lori tak tutup muatan tanah

Sebuah lori tanah antara yang ditahan JPJ Kuala Lumpur semasa operasi di ibu negara pada Selasa, selepas membawa muatan yang tidak ditutup. - Foto JPJ Kuala Lumpur
Sebuah lori tanah antara yang ditahan JPJ Kuala Lumpur semasa operasi di ibu negara pada Selasa, selepas membawa muatan yang tidak ditutup. - Foto JPJ Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lori membawa muatan tanah tidak ditutup antara kesalahan yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Op Patuh Khas (Kenderaan Komersial) di sekitar ibu negara, pada Selasa.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, operasi bermula jam 8 pagi itu telah mengeluarkan sebanyak 158 saman antaranya lebih muatan, tiada lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.

Menurutnya, sebuah lori yang membawa muatan tanah merah telah dikenakan tindakan saman kerana tidak menutup muatannya.

"Kesalahan itu bahayakan pengguna jalan raya lain kerana ia boleh mengundang kepada kemalangan.

"Selain itu, JPJ Kuala Lumpur turut bertindak menyita tiga kenderaan komersial iaitu sebuah bas dan dua lori kerana dipandu tanpa lesen oleh warga asing serta tempatan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, Bahagian Penguat kuasa JPJ Kuala Lumpur telah menguatkuasakan pelbagai kesalahan terhadap kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah-kaedah Pembinaan dan Penggunaan 1959 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Katanya, penguatkuasaan secara berfokus dan berterusan adalah untuk memastikan pemandu dan pengusaha kenderaan perdagangan mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa.

"Penguatkuasaan ini diadakan secara menyeluruh di ibu negara untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, JPJ turut mengesan pelbagai kesalahan lalu-lintas dan teknikal seperti penggunaan telefon bimbit semasa memandu, membawa muatan secara bahaya, bawa kayu penyendal secara tidak selamat dan ubahsuai kenderaan tanpa kebenaran.

"Pelaksanaan operasi ini antara usaha JPJ Kuala Lumpur dalam meningkatkan kesedaran kepada semua pengguna jalan raya betapa pentingnya memastikan keselamatan semasa berada di jalan raya," ujarnya.