JPN proses 160,000 permohonan MyKid sejak 2021

Zamri (dua kiri) menyampaikan replika cek kepada Mohammad Yaakub Yusra sempena Sambutan Hari Jabatan Pendaftaran Negara kali ke-75 di Murthada Dakwah Centre (Madad) di Kampung Telok, di sini, pada Selasa.
Zamri (dua kiri) menyampaikan replika cek kepada Mohammad Yaakub Yusra sempena Sambutan Hari Jabatan Pendaftaran Negara kali ke-75 di Murthada Dakwah Centre (Madad) di Kampung Telok, di sini, pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang memproses sekurang-kurangnya 160,000 permohonan MyKid sejak 2021 di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPN, Zamri Misma berkata, setakat ini kira-kira 40,000 MyKid telah diserahkan secara beransur-ansur bergantung kepada bekalan.

Bagaimanapun, katanya, waris yang belum menerima MyKid tidak perlu bimbang kerana memiliki dokumen itu bukanlah satu kewajipan.

"Pertama saya nak jelaskan dulu, Mykid bukan satu benda yang wajib perlu ada, paling penting perlu ada sijil kelahiran.

"Mykid adalah tambahan sebenarnya tak perlu bimbang, tak perlu risau, tak kan kena tangkap kalau tiada MyKid tak ada masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Jabatan Pendaftaran Negara kali ke-75 di Murthada Dakwah Centre (Madad) di Kampung Telok, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof.

Dalam masa sama, Zamri menjelaskan, biarpun MyKid bukan satu kewajipan, namun bagi mereka yang mempunyai keperluan mendesak, boleh menghubungi mana-mana kakitangan JPN.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan rungutan waris yang masih belum menerima MyKid berikutan ketiadaan bekalan di seluruh negara.

Sementara itu, jelasnya, inisiatif Madad menjadikan masjid sebagai pusat komuniti setempat diharapkan dapat menjadi teladan kepada pusat komuniti lain seluruh negara dapat mengembangkan syiar Islam.

Dalam majlis berkenaan, Zamri turut menyampaikan sumbangan hasil kutipan warga kerja JPN sebanyak RM8,197.90 kepada Madad sebagai permulaan hubungan persahabatan antara kedua-dua agensi.

Selain itu, Mohammad Yaakub Yusra berkata, penganjuran Sambutan Hari JPN yang dihadiri 1,500 pengunjung serta pelbagai agensi itu memeriahkan kehadiran orang ramai ke Madad.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk Jualan Rahmah membabitkan pelbagai barangan keperluan harian yang dijual dengan harga berpatutan.