Wang RM44,000 ditinggalkan dalam bonet kereta lesap dilarikan

Abdul Rahim Md Din
Abdul Rahim Md Din
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pesara tergamam selepas wang RM44,000 yang ditinggalkan di dalam bonet kereta dilarikan individu tidak dikenali, dalam kejadian di Kampung Paloh Haji Daud, di sini, Ahad lalu.

Kejadian berlaku selepas lelaki berusia 65 tahun pergi ke sebuah bank di bandaraya di sini untuk mengeluarkan wang Tabung Koperasi Kampung berjumlah RM44,000, kira-kira jam 12 tengahari, hari kejadian.

Menurut sumber, semasa keluar dari bank berkenaan, mangsa ternampak dua lelaki tidak dikenali berada di atas motosikal di hadapan bank tersebut sedang memerhati.

"Tanpa mempedulikannya, mangsa terus pergi mendapatkan kereta sebelum menyimpan wang tersebut di dalam bonet belakang dan terus meninggalkan lokasi. Dalam perjalanan balik ke rumahnya, mangsa singgah sekejap di sebuah kedai runcit di Kampung Losong dengan meninggalkan keretanya dalam keadaan berkunci baik.

"Ketika itu juga mangsa ternampak dua lelaki sama yang sebelum ini dijumpai di hadapan bank turut berada di situ sambil memerhati," katanya.

Sumber berkata, tanpa sebarang syak serta curiga, mangsa meneruskan perjalanan pulang dan sampai di rumah kira-kira jam 1.10 petang.

"Mangsa meletakkan keretanya di kawasan parkir di perkarangan rumah dalam keadaan berkunci baik sebelum masuk ke dalam rumah.

"Bagaimanapun, lebih kurang 15 minit kemudian iaitu kira-kira jam 1.25 petang, isteri mangsa memaklumkan ada dua lelaki bermotosikal keluar dari perkarangan rumah mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas sumber, sejurus itu, mangsa terus membuat pemeriksaan sebelum mendapati bonet keretanya terbuka dan terdapat kesan umpilan.

"Bukan itu sahaja, dia tergamam seketika selepas mendapati wang yang disimpan di dalam bonet itu turut hilang disyaki di curi sebelum membuat laporan polis untuk tindakan susulan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.