Leipzig sedia calar ego City

Leipzig sudah bersedia membuat perhitungan dengan City dalam saingan Liga Juara-Juara pada Khamis. - Foto EPA
Leipzig sudah bersedia membuat perhitungan dengan City dalam saingan Liga Juara-Juara pada Khamis. - Foto EPA
A
A
A

KELAB Jerman, RB Leipzig sudah bersedia untuk berdepan penyandang gelaran Liga Juara-Juara, Manchester City meskipun membariskan pemain muda dalam aksi di laman sendiri pada Khamis.

Leipzig yang masih segar dengan kejuaraan Piala Jerman kedua berturut-turut kehilangan empat pemain utama setelah mendapat tawaran lumayan pada musim panas lalu.

Pertahanan tengah, Josko Gvardiol berpindah ke City, pemain tengah, Dominik Szoboszlai ke Liverpool dan penjaring terbanyak Christopher Nkunku berkelana ke Chelsea menerima yuran perpindahan yang besar.

Konrad Laimer pula menyertai musuh domestik, Bayern Munich secara percuma.

Leipzig menerima lebih 240 juta euro (RM1.1 bilion) pada jendela perpindahan pemain musim panas lalu dan kebanyakannya dilaburkan semula mendapatkan pemain baharu.

Bagi meneruskan pembinaan semula pasukan dan membangunkan bakat muda, Leipzig membawa masuk beberapa pemain baharu yang sudah menyinar di kelab masing-masing.

Leipzig menyambar Lois Openda yang meledak 21 gol untuk membantu Lens menamatkan hanya satu mata di belakang juara Paris Saint-Germain (PSG) dalam Ligue 1 musim lalu.

Turut menyertai kelab itu ialah pemain pinjaman PSG berusia 20 tahun, Xavi Simons.

Artikel Berkaitan:

Leipzig turut membawa masuk Castello Lukeba, 20, dari Lyon untuk menggantikan Gvardiol sebagai bek tengah, manakala pemain hebat Slovenia, Benjamin Sesko, 20, menyertai kelab saudara, Red Bull Salzburg.

Sebagai rekod Leipzig sudah menang tujuh daripada sembilan perlawanan dalam semua pertandingan musim ini termasuk berdepan Bayern sebanyak dua kali.

Ia membuktikan pasukan yang dibina semula Marco Rose cepat serasi dan mungkin menjadi cabaran sebenar untuk City.

Pemain tengahnya, Emil Forsberg percaya rakan sepasukan mampu memberi tentangan sengit kepada juara bertahan itu.

“Kami perlu mengalihkan tumpuan (dari saingan domestik) ke perlawanan seterusnya menentang City dan bersedia 100 peratus untuk itu,” katanya.