Bangsal sebesar reban ayam jadi rumah anak lembam, mental

Mohd Zain di hadapan salah sebuah bangsal anaknya.
A
A

TUMPAT - [DIKEMASKINI] Seorang warga emas lelaki terpaksa membina bangsal sebesar reban ayam untuk tiga anaknya yang lembam dan mental berteduh di Kampung Paloh Chicha di sini.

Mamat @ Mohd Zain Idris, 70, membina bangsal tersebut berhampiran rumahnya apabila terpaksa mengasingkan ketiga-tiga anaknya itu bagi mengelak bertindak agresif terhadap empat cucu yang tinggal bersama.

Bangsal daripada kayu dan zink terbuang itu menjadi tempat tinggal dua anak yang mengalami masalah mental, Mohd Fakrul Anuar, 46 dan Mohd Aris, 36, serta anaknya lembam Mohd Hanafiah, 34.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ruang di bangsal Mohd Hanafiah hanya muat untuk dirinya tidur manakala tempat berteduh Mohd Arif tidak mempunyai pintu.


Mohd Zain bersama isteri menunjukkan bangsal sebesar reban ayam menjadi tempat tinggal anaknya Mohd Hanafiah.
Mohd Zain bersama isteri menunjukkan bangsal sebesar reban ayam menjadi tempat tinggal anaknya Mohd Hanafiah.

Mamat berkata, tiga bangsal itu dibina apabila empat cucu berusia 6 hingga 15 tahun tinggal bersamanya dan isteri, Aminah Harun, 55, selepas tiga anak perempuan bercerai dan meninggalkan mereka.

Dua lagi anaknya juga lembam, Nor Albaniah, 27, sudah berumahtangga serta disara suaminya manakala Samsuri, 25, tinggal di dalam rumahnya yang diubah suai dan dipisahkan dengan batu-bata.

"Saya sara 9 ahli keluarga dengan ihsan sedekah orang ramai kerana tak larat untuk bekerja buruh lagi. Mujurlah adik saya yang tinggal sebelah rumah hulurkan makanan setiap hari untuk kami 10 sekeluarga

"Kalau ada beras atau makanan boleh dibuat lauk yang disedekahkan orang ramai, saya masak sendiri," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Menurutnya, selain menguruskan makan minum empat anak mental dan lembam, dia juga berulang-alik menghantar tiga cucunya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjong dan tadika menaiki motosikal.

Bangsal yang didiami Mohd Arif dibina daripada zink terpakai.
Bangsal yang didiami Mohd Arif dibina daripada zink terpakai.

"Cucu yang sudah sekolah menengah pergi sendiri ke sekolah. Membesarkan empat cucu ini sudah menjadi tanggungjawab saya, nak harapkan kepada anak-anak bantu, mereka pun saya jaga.

"Mohd Fakrul Anuar kerja cari besi buruk tapi perlu ke Klinik Kesihatan Wakaf Bharu setiap bulan untuk rawatan susulan penyakit mentalnya.

"Mohd Aris yang sering merayau pula setiap bulan perlu disuntik ubat penenang kerana dia agresif," katanya.

Mamat berkata, penyakit mental ini dihidapi kedua-dua anak lelakinya itu sejak remaja disebabkan kemurungan kerana ibu mereka yang juga isteri pertamanya meninggal dunia.

Bangsal Mohd Fakrul Anuar yang belum siap sepenuhnya.
Bangsal Mohd Fakrul Anuar yang belum siap sepenuhnya.

"Anak-anak saya tak ada kad orang kurang upaya (OKU) sebab belum mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Menurutnya, isteri yang bekerja sebagai pembantu kantin sering menolongnya menyara keluarga sebelum terpaksa berhenti kerja setahun lalu.

"Isteri saya mempunyai masalah jantung dan menghidap tiroid. Dia pula perlu dibedah pada 25 Mei ini," katanya.

Dalam pada itu, keluarga berkenaan juga mendapat perhatian Imam Masjid Mukim Paloh, Muhamad Husin dan menjadi antara asnaf yang sering menerima bantuan zakat dan beras.

Namun, orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Mamat @ Mohd Zain 153039270207 atau hubunginya di talian 012-9685549.