Speedy Tigers gagal ke separuh akhir

Skuad hoki negara gagal mara ke separuh akhir selepas tewas kepada China.- Foto FB MHC
Skuad hoki negara gagal mara ke separuh akhir selepas tewas kepada China.- Foto FB MHC
A
A
A

SPEEDY Tigers gagal untuk mara ke separuh akhir selepas diikat China 4-4 dalam aksi terakhir kumpulan B Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gongshu Canal Park pada Isnin.

Keputusan itu menyaksikan China muncul juara Kumpulan B manakala Korea Selatan di kedudukan kedua dan Malaysia mengakhiri saingan kumpulan di kedudukan ketiga.

Turun dengan misi wajib menang, skuad kendalian Arul Selvaraj itu bermula goyah apabila ketinggalan menerusi pukulan sudut penalti Gao Jiesheng pada minit ke-13.

Malaysia kembali menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-18 namun tidak bertahan lama apabila Chen Qijun kembali meletakkan tuan rumah di hadapan dua minit berselang.

Mohamad Ashran Hamsani memastikan kedudukan terikat 2-2 apabila bijak menyambar bola dihadapan gawang China sebelum Muhammad Najmi Farizal Jazlan memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit ke-35 untuk meletakkan skuad negara di depan.

Namun, Pan Dongquan tampil tenang menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-36 sebelum aksi berbalas gol diteruskan menerusi Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-40 untuk sekali lagi skuad negara di depan.

Hasrat Speedy Tigers untuk mempertahankan gol tersebut tidak berjaya apabila gol padang Zhu Weijiang pada minit ke-43 memastikan China melangkah ke separuh akhir.

Skuad negara akan bertemu Pakistan untuk membuat perhitungan penentuan tempat kelima dan keenam.

Artikel Berkaitan: