Malaysia peroleh komitmen pelaburan RM37.4 bilion sektor digital

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

PETALING JAYA - Malaysia memperoleh komitmen pelaburan berjumlah lebih RM37.4 bilion merentasi pelbagai sektor teknologi digital setakat Ogos 2023 yang bakal mewujudkan sekurang-kurangnya 15,895 peluang pekerjaan bernilai tinggi, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pencapaian luar biasa ini mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap rangka kerja Malaysia Digital (MD), inisiatif strategik negara untuk memacu ekonomi digital.

"Baru-baru ini saja, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China, yang mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan,” katanya semasa merasmikan Malaysia Digital Expo (MDX) 2023, di sini, hari ini.

MDX 2023 yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), merupakan inisiatif utama di bawah MD yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara digital utama di rantau ASEAN.

"Ia menyediakan platform kepada syarikat tempatan dan antarabangsa untuk bekerjasama dan meneroka peluang baharu dalam ekonomi digital serta mempamerkan aset digital Malaysia untuk menarik pelaburan digital bernilai tinggi,” kata MDEC dalam satu kenyataan hari ini.

Bermula hari ini hingga 8 November, 2023, MDX 2023 akan menampilkan beberapa siri acara yang akan diadakan di seluruh negara, termasuk persidangan, bengkel, pameran dan sesi rangkaian, yang kemudiaannya diakhiri dengan majlis anugerah dan makan malam eksklusif MDX.

Acara itu dijangka menarik lebih 150,000 peserta dari seluruh dunia, termasuk pelabur, usahawan, pemula niaga teknologi, persatuan perdagangan, penggubal dasar dan profesional digital.

MDX 2023 disokong oleh beberapa acara sampingan seperti Malaysia Digital Content Festival 2023, Malaysia-Japan Digital Exchange, World Congress Information Technology on Innovation and Technology 2023, Malaysia Cloud and Datacenter Convention 2023 dan #mydigitalmaker Fair 2023 Finale.

Artikel Berkaitan:

Senarai acara MDX 2023 termasuklah Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Melaka Pintar (SMIX) 2023, Persidangan Kecerdasan Buatan Malaysia United Kingdom (UK) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor ke-7 2023.

Barisan penceramah dan ketua industri terkemuka yang menghadiri acara pada tahun ini ialah Ricky Kapur, ketua APAC Zoom; Melvin Ooi, ketua pegawai eksekutif Bank Digital YTL-SEA; Eric Chang, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Carsome; Dr Raymond Choy, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif DOC2US; Hiroyuki Kato, pengarah Japan Peppol Authority dan Zack Kass, ketua GTM di OpenAI, pemaju ChatGPT.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai MDX 2023 boleh layari www.mdec.my/mdx. - Bernama