Punca berlakunya kencing manis

Awas, diabetes pembunuh dalam senyap.
A
A

KENCING manis atau nama saintifiknya diabetes adalah pembunuh dalam senyap. Penyakit ini merupakan antara penyakit pembunuh utama di Malaysia selain kanser dan sakit jantung.

Ia berlaku apabila metabolisme tubuh terganggu sehingga mengakibatkan glukosa di dalam badan tidak dapat dimanfaatkan sebagai tenaga secara maksimum.

Apakah punca berlakunya kencing manis?

Menurut sumber rasmi Kementerian Kesihatan, faktor-faktor risiko kencing manis atau diabetes adalah seperti berikut:

1) Berlebihan berat badan atau kegemukan.

2) Tidak bersenam dan gaya hidup tidak aktif.

3) Pemakanan - pengambilan makanan tinggi lemak dan kurang serat.

4) Keturunan - diabetes mempunyai perkaitan yang kuat dalam keluarga.

5) Peningkatan umur.

6) Bangsa – kaum India mempunyai lebih risiko mendapat diabetes.

Seorang pesakit membuat ujian darah dan suntikan insulin sendiri.
Seorang pesakit membuat ujian darah dan suntikan insulin sendiri.

Bagaimana pula dengan tanda-tanda kencing manis?

1) Kerap dahaga dan kerap kencing pada waktu malam

Tanda kencing manis yang paling biasa ialah selalu rasa haus. Apabila waktu malam pula, selalu ke tandas untuk kencing.

Lebihan glukosa dalam saluran darah membuatkan buah pinggang bekerja lebih keras untuk memprosesnya. Ini menyebabkan seseorang menjadi kerap membuang air kecil pada waktu malam.

Apabila air banyak hilang anda akan menjadi lebih dahaga. Itulah antara petanda badan anda sedang cuba menggantikan air yang telah hilang.

2) Berat badan menyusut dengan drastik

Anda kena hati-hati apabila berat badan menurun tiba-tiba walaupun kuantiti makanan yang diambil adalah sama setiap hari. Inilah antara tanda kencing manis.

Bagi sesetengah orang, kehilangan berat badan secara drastik dalam masa yang singkat mungkin menggembirakan mereka.

Tetapi awas kerana ia mungkin salah satu tanda anda menghidap kencing manis kerana disebabkan oleh kegagalan badan untuk memproses glukosa sebagai tenaga yang menyebabkan ia mula memecahkan otot dan lemak untuk menghasilkan tenaga.

3) Jarak penglihatan menurun

Antara tanda kencing manis yang orang selalu abaikan ialah tidak dapat melihat dengan jelas.

Kandungan gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan perubahan pada bentuk kanta dan mata yang seterusnya mengakibatkan seseorang mengalami kabur penglihatan. Seseorang itu mungkin juga akan buta sekiranya ianya dibiarkan untuk tempoh yang panjang.

4) Sering kebas pada tangan dan kaki

Ia berlaku disebabkan oleh kerosakan pada sistem saraf atau pembuluh darah yang menyebabkan seseorang mengalami kesemutan, kebas atau bengkak pada tangan dan kaki.

Ini kerana darah tidak lagi sampai pada hujung saraf anggota badan.

5) Luka yang lambat sembuh.

Ini tanda kencing manis yang paling menakutkan. Selalu orang kata, sampai boleh kena “Potong kaki!”.

Sistem saluran darah yang rosak kerana gula berlebihan juga turut memberikan kesan kepada penyembuhan luka kerana darah tidak dapat disampaikan kepada anggota-anggota badan. Pesakit juga mungkin tidak akan rasa sakit pada bahagian yang luka.

Paling menakutkan apabila luka-luka ini menjadi semakin teruk dan membusuk dimana hanya dengan memotong anggota badan tersebut merupakan jalan untuk menyembuhkannya.

Kesimpulannya, kurangkan makanan dan minuman bergula termasuk amalkan gaya hidup sihat melalui senaman dan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Sayangi diri anda dan keluarga!

Kesan kencing manis yang jelas kelihatan adalah luka yang lambat sembuh.
Kesan kencing manis yang jelas kelihatan adalah luka yang lambat sembuh.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia