Realisasi hospital baru Kampar lima tahun lagi

Sivanesan (tiga dari kiri) ketika meninjau cadangan tapak pembinaan hospital baru di Kampar.
Sivanesan (tiga dari kiri) ketika meninjau cadangan tapak pembinaan hospital baru di Kampar.
A
A
A

KAMPAR - Kemudahan hospital baru di Kampar yang menjadi antara keperluan mendesak penduduk di daerah itu dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun lagi.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, tapak berkeluasan 11.72 hektar di Changkat Baru iaitu kira-kira 10 kilometer dari hospital sedia ada telah dikenal pasti bagi tujuan pembinaan berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini terdapat beberapa cadangan lokasi pembinaan dikemukakan kepada kerajaan negeri, namun didapati tidak sesuai dengan sebahagiannya merupakan tapak lombong lama.

"Kita sudah mendapat persetujuan yang muktamad berkaitan tapak baharu hospital di sini.

"Jadi Pejabat Tanah dan Galian akan meneruskan proses seterusnya membawa kertas cadangan tapak ini kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri bagi tujuan kelulusan dalam masa terdekat.

"Sekiranya semua berjalan lancar, pembinaan hospital ini akan dapat dimulakan dan kita jangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak pada Isnin yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin dan Pengarah Hospital Kampar, Dr Khairul Azha Azam.

Sivanesan berkata, kemudahan hospital baru sangat diperlukan bagi menampung penambahan jumlah pesakit mendapatkan rawatan selepas hospital sedia ada tidak lagi sesuai dan dalam keadaan uzur.

Artikel Berkaitan:

Katanya, cadangan hospital baru itu telah dibuat sejak 2018 lagi dan peruntukannya telah diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Belanjawan 2020 berjumlah RM500 juta.

"Kita tidak menafikan bahawa warga Kampar telah lama menunggu untuk hospital baru kerana hospital sedia ada sekarang usianya lebih 60 tahun, sempit dan tidak sesuai untuk dilakukan penambahan.

"Jadi dengan peruntukan sedia ada itu, komitmen kerajaan negeri adalah untuk memastikan pembinaan hospital ini menjadi realiti," katanya.