Warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh selepas disamun

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa. - Foto PDRM
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa. - Foto PDRM
A
A
A

BALING - Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan leher dijerut serta tangan dan kaki diikat di sebuah rumah di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam yang menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 3 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah, Baling dikejarkan ke lokasi.

"Mayat mangsa ditemui di atas katil di bilik utama di dalam rumah terbabit.

“Hasil semakan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mangsa terlihat kelibat dua orang lelaki tidak dikenali keluar dari rumah lalu menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna gelap," katanya ketika dihubungi.

Shamsudin berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 71 tahun itu tinggal bersendirian di rumah itu selepas kematian isterinya kira-kira lapan tahun lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati barangan milik mangsa iaitu seutas rantai emas, sebentuk cincin dan dompet milik mangsa tiada.

"Siasatan awal polis kejadian dipercayai bermotifkan samun namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan dua suspek terbabit,” jelas Shamsudin.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, Shamsudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi IPD Baling di talian 04-4708222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Tan See Yean di talian 019-6687687. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!