Kelantan United kejutkan Penang di Kota Bahru

Qayyum (kiri) diasak pemain Penang, Muhammad Adib Abdul Raop dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV pada Ahad. Foto Bernama
Qayyum (kiri) diasak pemain Penang, Muhammad Adib Abdul Raop dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KELANTAN United meneruskan kempen memperbaiki kedudukan saingan Liga Super dengan mengalahkan Penang FC, 1-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.

Pemain posisi tengah import dari Croatia, Dominik Balic muncul wira Kijang Hijau apabila meledak jaringan pada minit ke-67 untuk gol tunggal perlawanan.

Tiga mata diraih anak buah Ailton Silva itu membolehkan pasukan tuan rumah mengumpul 14 mata selepas mengharungi 22 perlawanan.

Sementara itu, Penang FC kendalian Chong Yee Fatt memanjangkan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga.

Perlawanan bermula perlahan menyaksikan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dalam merencanakan serangan dalam 20 minit pertama.

Bagaimanapun tuan rumah melakukan pertukaran awal apabila mengeluarkan Ismaheel Akinade bagi memasukkan Mohamad Qayyum Marjoni Sabil pada minit ke-25.

Tuan rumah hampir dikejutkan jaringan awal The Panthers menerusi percubaan Hassan Saad namun digagalkan kecemerlangan penjaga gol, Mohd Shahril Sa'ari.

Separuh masa pertama kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Artikel Berkaitan:

Separuh masa kedua, Kelantan United tampil lebih agresif dalam melakukan beberapa percubaan bagi memburu gol pendahuluan.

Gol yang dicari pasukan tuan rumah akhirnya dijelmakan Balic untuk tiga mata pasukan tuan rumah.