Orang Asli gigih pinjam kereta hantar anak ke universiti

Fida Adira (tengah) ditemani ibu bapanya ketika mendaftar bagi mengikuti pengajian ijazah di UMK pada Ahad
Fida Adira (tengah) ditemani ibu bapanya ketika mendaftar bagi mengikuti pengajian ijazah di UMK pada Ahad
A
A
A

BACHOK - Seorang bapa daripada suku kaum Orang Asli Temuan gigih meminjam kereta saudara bagi memastikan anak keduanya berjaya mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Ahad.

Lelaki terbabit, Eron Binchar, 41, dari Kampung Sungai Bot, Telemong, Karak, Pahang menghantar anak perempuannya, Fida Adira Eron, 20, bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) sesi 2022/2023 di universiti itu.

Turut bersama mereka, isteri Eron iaitu Fatimah Ali, 49, bersama-sama menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer yang mengambil masa hampir empat jam sebelum tiba di Bachok, Kelantan.

Katanya, dia sanggup meminjam kereta jenis Proton Saga milik saudaranya itu kerana tidak mahu anaknya, Fida Adira terjejas peluang untuk menyambung pengajian di universiti.

Shahrizan (kanan) turut mendaftar sebagai penuntut di UMK pada Ahad
Shahrizan (kanan) turut mendaftar sebagai penuntut di UMK pada Ahad

“Allhamdullilah, dengan inisiatif laluan khas oleh Bahagian Kemasukan UPU dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Fida Adira dapat mendaftar ke universiti ini.

"Sejak dari kecil lagi, Fida Adira sangat rajin dan cemerlang dalam pelajaran. Selepas mendapat keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) lepas, Fida Adira memilih UMK sebagai pilihan pertama untuk menyambung pengajian,” katanya.

Menurut Eron, sebelum ini anak sulungnya iaitu kakak kepada Fida Adira juga pernah mendapat tawaran untuk masuk ke universiti tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan kerana kesempitan hidup.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pendapatan bekerja kampung tidak menentu selain tinggal di kawasan pedalaman Orang Asli yang jauh daripada segala kemudahan.

“Dulu saya tak mampu untuk hantar anak sulung ke universiti kerana tak ada duit untuk membiayai yuran pengajiannya.

Fida Adira (tengah) bersama ibu bapanya iaitu Eron (kiri) dan Fatimah (kanan) yang hadir di UMK, Bachok pada Ahad.
Fida Adira (tengah) bersama ibu bapanya iaitu Eron (kiri) dan Fatimah (kanan) yang hadir di UMK, Bachok pada Ahad.

“Kali ini, saya dan anak-anak tidak mahu lagi menjadikan kemiskinan sebagai kekangan untuk berjaya dan cemerlang dalam pelajaran,” kata Eron.

Sementara itu, seorang lagi Orang Asli dari suku sama, Shahrizan Layar, 20, anak kepada penoreh getah dari Kampung Orang Asli Gebok, Mantin, Negeri Sembilan berkata, dia mahu merebut peluang menyambung pengajian di UMK untuk merubah kehidupan keluarganya di kampung.

Shahrizan juga mendaftar bagi pengajian ijazah yang sama kerana meminati bidang animasi selain mengakui kesukaran dan kesempitan hidup di pedalaman menjadi penguat semangat untuknya lebih berjaya.

“Bapa saya juga terpaksa meminjam kenderaan milik sebuah agensi kerajaan untuk menghantar saya ke UMK ini.

“Saya terharu dan berterima kasih kepada agensi tersebut yang bersusah payah menghantar kami sekeluarga dan berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa ibu bapa,” katanya.