"Ku sangka biawak, rupa-rupanya anak buaya"

Anak buaya sepanjang lebih 30 meter yang berjaya ditangkap
Anak buaya sepanjang lebih 30 meter yang berjaya ditangkap
A
A
A

ALOR GAJAH – "Saya ingatkan digigit biawak, tapi rupa-rupanya anak buaya".

Demikian cerita warga emas Faridah Abd Ghani,65, yang terkejut apabila mendapati kaki kirinya digigit seekor anak buaya sepanjang kira-kira 30 sentimeter di rumahnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah dekat sini pada Ahad.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika dia mahu mengemas beranda rumahnya.

"Ketika melangkah keluar pintu rumah dalam cuaca gelap, saya terkejut apabila tiba-tiba terasa ada sesuatu menggigit kaki kiri.

"Saya segera memanggil anak lelaki dan ketika itu barulah saya tahu yang menggigit kaki saya adalah anak buaya," katanya kepada media pada Ahad.

Faridah berkata, anaknya kemudian menekup reptilia haiwan berkenaan menggunakan tudung saji sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk bantuan lanjut.

Ujarnya, memandangkan kedudukan rumahnya berdekatan pantai Tanjung Bidara, dia pernah melihat kelibat buaya berenang di perairan pantai berkenaan.

“Namun ini pertama kali kejadian buaya naik ke rumah dan mujurlah saya tidak mengalami luka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah (UMT), Leftenan (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry berkata, Pusat Kawalan Operasi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.04 pagi.

Tambahnya, sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi dan berjaya menangkap anak buaya itu yang dipercayai tersesat daripada habitat asal.

"Haiwan itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya.