Kerajaan percepat usaha bawa pulang tahanan Malaysia di Guantanamo

Saifuddin (kiri) bertemu Kaidanow (tengah) di New York baru-baru ini. - Foto Aplikasi X Saifuddin
Saifuddin (kiri) bertemu Kaidanow (tengah) di New York baru-baru ini. - Foto Aplikasi X Saifuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan berusaha mempercepatkan urusan bagi membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau membincangkan perkara tersebut dalam satu pertemuan bersama Wakil Khas Hal Ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow di New York baru-baru ini.

“Ini adalah pertemuan kedua saya dengan TYT Tina Kaidanow serta pertemuan susulan daripada lawatan saya ke Teluk Guantanamo.

“Insya-ALLAH, kita akan usaha mempercepat urusan mereka kembali ke Malaysia,” katanya dalam hantaran di aplikasi X pada Isnin.

Ujarnya, beliau bertemu sendiri dengan kedua-dua rakyat Malaysia yang ditahan di penjara tersebut.

“Kisah mereka membuatkan saya benar-benar tersentuh. Ini bertitik tolak tentang kehidupan, tentang keinsafan, tentang peluang menjadi insan yang lebih baik,” menurutnya.

Pada Ogos 2003, dua warga Malaysia iaitu Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin antara yang berdepan dengan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.

Artikel Berkaitan: