Putin mudahkan kemasukan rakyat Ukraine ke Rusia

Putin
Putin
A
A
A

MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Jumaat menandatangani dekri yang memudahkan kemasukan warga Ukraine ke Rusia.

Kini, warga Ukraine boleh menyeberang masuk ke Rusia tanpa visa menggunakan pasport dalaman atau asing, pasport diplomatik atau perkhidmatan, kad pengenalan kelasi atau anak kapal pesawat, menurut dekri yang diterbitkan di portal kerajaan.

Mereka yang mempunyai dokumen yang telah tamat tempoh juga dibenarkan masuk, lapor Agensi Anadolu.

Bagi kanak-kanak, ia perlu disertakan sijil kelahiran atau pasport wakil sah dengan maklumat tentang kanak-kanak itu.

Kanak-kanak warga Ukraine boleh meninggalkan Rusia dengan wakil yang sah atau dengan orang dewasa yang telah mendapat kebenaran notari.

Rusia dan Ukraine mempunyai perjanjian sejak 1997 yang membolehkan perjalanan tanpa visa untuk warga kedua-dua negara.

Bagaimanapun, Ukraine menamatkan perjanjian itu selepas 1 Januari 2023.

Pihak berkuasa Rusia bagaimanapun memutuskan untuk mengekalkan kemasukan warga Ukraine secara bebas visa ke Persekutuan Rusia. - Bernama

Artikel Berkaitan: