Uniknya kota Kashgar

A
A
A

URUMQI - Baru-baru ini penulis bersama lebih 20 pengamal media antarabangsa dibawa melawat ke Kashgar, sebuah kota purba di Lembah Tarim di selatan wilayah autonomi Xinjiang, China.

Lawatan diatur Pejabat Penerangan Dewan Negara China itu sebahagian daripada program Kembara ke Zon Teras Jalur Ekonomi Laluan Sutera.

Peluang mengikuti program tersebut memberi ruang kepada penulis meninjau kehidupan masyarakat, selain melihat sendiri pembangunan sosial dan ekonomi, perlindungan budaya serta hal ehwal agama di Kashgar.

Sebuah keluarga Uighur berehat di kawasan kaki lima di bandar purba Kashgar.
Sebuah keluarga Uighur berehat di kawasan kaki lima di bandar purba Kashgar.

Penduduk tempatan menjual buah-buahan kering.
Penduduk tempatan menjual buah-buahan kering.

Kedudukan geografi Kashgar yang bersempadan dengan lapan negara seperti Mongolia, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Pakistan, Afghanistan dan India memberi keunikan yang berbeza terutama pada bentuk fizikal dan raut wajah mereka yang jauh berbeza dengan kaum majoriti, Han.

Ketika menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kashgar, penulis berasakan seperti bukan berada di China, sebaliknya di negara bekas jajahan Kesatuan Soviet atau Asia Barat.

Ini kerana bentuk mata dan ekspresi wajah mereka yang iras masyarakat Arab, Turkiye, Iran mahupun Afghanistan.

Artikel Berkaitan:

Penulis diberitahu, 90 peratus daripada hampir lima juta penduduk di Kashgar yang majoritinya daripada etnik Uighur adalah beragama Islam.

Justeru, tidak hairanlah seni bina, pakaian dan makanan di Kashgar amat berlainan dengan wilayah lain di tanah besar China.

Malah, sepanjang berada di Kashgar, penulis melihat papan tanda jalan, premis perniagaan dan pejabat memaparkan tiga bentuk tulisan iaitu tulisan jawi untuk Uighur di bahagian atas, diikuti tulisan Mandarin dan tulisan rumi di bahagian bawah.

Papan tanda dengan tulisan jawi dan mandarin tertera di sebuah premis menjual pakaian.
Papan tanda dengan tulisan jawi dan mandarin tertera di sebuah premis menjual pakaian.

Bentuk tulisan Uighur itu jelas membuktikan betapa kuatnya pengaruh Islam di Kashgar yang pernah menjadi satu daripada laluan terpenting pedagang Arab ke China melalui Laluan Sutera satu ketika dahulu.

Tidak sukar untuk mengenali lelaki Uigur di Kashgar. Jika di Malaysia, kopiah atau songkok menjadi penutup kepala, namun di sana mereka memakai topi tradisinal berbucu empat atau lima yang dipanggil doppa dan menjadi identiti etnik itu.

Walaupun kurang fasih berbahasa Mandarin apatah lagi bahasa Inggeris, namun mereka mengangguk faham apabila penulis menyatakan ‘Muslim’ kepada mereka.

Pasangan suami isteri warga emas Uighur memakai doppa iaitu topi yang menjadi identiti kepada etnik tersebut di Kashgar.
Pasangan suami isteri warga emas Uighur memakai doppa iaitu topi yang menjadi identiti kepada etnik tersebut di Kashgar.

Dua pekerja sedang menyediakan kebab kambing di sebuah restoran halal di kota purba Kashgar.
Dua pekerja sedang menyediakan kebab kambing di sebuah restoran halal di kota purba Kashgar.