TDM siapkan dalam tempoh singkat

Usaha MINDEF bina semula surau Zoo Negara

A
A
A

Surau Abu Hurairah yang telah siap dibina oleh Unit 91, RAJD, TDM.
Surau Abu Hurairah yang telah siap dibina oleh Unit 91, RAJD, TDM.

HULU KELANG - Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerusi Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) berjaya menyiapkan projek pembinaan semula Surau Abu Hurairah di Zoo Negara.

Usaha yang turut melibatkan kerjasama Persatuan Zoologi Malaysia itu memberikan manfaat besar kepada para kakitangan serta pengunjung Zoo Negara dalam menunaikan tanggungjawab mereka kepada agama.

Pembinaan Surau Abu Hurairah yang dimulakan 16 Januari itu telah disiapkan pada 16 Mac tahun ini dengan kepakaran 24 orang anggota daripada Unit 91, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), TDM yang diketuai Leftenan Kolonel Norhajeri Samsudin.

Antara anggota Unit 91, RAJD, TDM giat melaksanakan kerja-kerja pembinaan semula surau Abu Hurairah untuk manfaat para kakitangan serta pengunjung Zoo Negara.
Antara anggota Unit 91, RAJD, TDM giat melaksanakan kerja-kerja pembinaan semula surau Abu Hurairah untuk manfaat para kakitangan serta pengunjung Zoo Negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MINDEF, Dr Mohd Bakhari Ismail berkata, walaupun telah tertangguh dari tahun 2020 disebabkan oleh pandemik Covid-19, projek itu bagaimanapun berjaya diselesaikan dalam tempoh 45 hari, lebih awal dari yang disasarkan.

“Kejayaan pembinaan surau ini melibatkan kecekapan para anggota dan pegawai RAJD, TDM. Usaha ini selaras dengan Teras 4 Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025 iaitu memperkukuh Kerjasama Awam dan Tentera (CIMIC),” katanya selepas majlis perasmian Surau Abu Hurairah di Zoo Negara pada 11 September lalu yang turut dihadiri Timbalan Penglima TDM, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Kerjasama Awam - Tentera (CIMIC) adalah usaha Kementerian Pertahanan bagi mewujudkan aktiviti bersama masyarakat dan ATM dalam memastikan peranan dan tanggungjawab mereka dalam mempertahankan negara.

Unit 91, RAJD, TDM yang berjaya menyelesaikan misi pembinaan semula Surau Abu Hurairah di Zoo Negara.
Unit 91, RAJD, TDM yang berjaya menyelesaikan misi pembinaan semula Surau Abu Hurairah di Zoo Negara.

Sementara itu, dengan kos berjumlah RM180,000, pembinaan semula surau berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Bank Islam melalui inisiatif kewangan sosial, Sadaqa House iaitu dana tanggungjawab sosial (CSR) di bawah institusi perbankan Islam itu.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, penyediaan kemudahan ibadat yang selesa perlu diberi keutamaan memandangkan Zoo Negara merupakan destinasi pelancongan dan pusat pendidikan hidupan liar utama di negara ini.