Parlimen Kemaman: Pas tunggu keputusan bertulis hakim

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu sebelum ini menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu sebelum ini menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keputusan sama ada Pas akan membuat rayuan atau sebaliknya berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Kemaman ditentukan selepas menerima keputusan bertulis daripada hakim.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti perlu meneliti terlebih dahulu alasan pembatalan tersebut sebelum membuat keputusan lanjut.

"Kami hendak tengok apa alasan penemuan (ada rasuah) kerana hakim menyatakan ada amalan berbentuk rasuah tetapi tidak menamakan mana-mana pihak yang mengamalkan (rasuah).

"Jadi, kami hendak tengok (keputusan bertulis hakim). Kalau hakim kata terdapat amalan rasuah tetapi tidak menamakan siapa, maka calon kami boleh bertanding," katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Agung Pas di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian parti itu susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas, Che Alias Hamid pada PRU15 lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis pada 26 September lalu setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman.

Menurutnya, pempetisyen yang juga pengundi iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, keputusan bertulis hakim itu nanti akan dijadikan sandaran parti dalam menentukan calon yang akan diletakkan nanti.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin kita akan buat PRK sama macam (PRK) Kuala Terengganu sebelum ini," katanya.

Pada PRU15 lalu, Che Alias menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan majoriti 27,179 undi.