HMR beri fokus utama pesakit keperluan khas

Sambutan Hari Farmasi Sedunia Kebangsaan bersempena Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani KKM dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan bakal diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada Ahad.
Sambutan Hari Farmasi Sedunia Kebangsaan bersempena Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani KKM dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan bakal diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Jangkau Luar Perkhidmatan Farmasi Penilaian Ubat-Ubatan di Rumah (HMR) memberi fokus utama kepada pesakit berkeperluan khas seperti psikiatri, geriatrik, neurologi (strok), penyakit kronik dan menggunakan pelbagai ubat di rumah atau pusat jagaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan itu dilaksanakan ahli farmasi dan kesihatan lain secara multidisiplin yang melibatkan aktiviti rekonsiliasi, penilaian ubat secara komprehensif serta sistematik.

Menurutnya, ia termasuk semua ubat preskripsi dan bukan jenis-jenis suplemen, vitamin, ubat tradisional dan sebagainya yang diambil pesakit.

“Pasukan HMR memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan menyelesaikan isu ini untuk meminimumkan kos, beban kesihatan serta meningkatkan kualiti hidup pesakit.

“Selain itu, perkhidmatan ini turut menggalakkan penggunaan ubat yang rasional serta mengurangkan masalah pengubatan dalam kalangan pesakit penyakit kronik.

“Sekiranya terdapat keperluan atau komplikasi, mereka akan dirujuk ke klinik atau hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya pada Jumaat.

HMR merupakan satu aktiviti penjagaan farmaseutikal untuk memastikan kesinambungan penjagaan pesakit selepas pulang ke rumah atau pusat jagaan bertujuan meningkatkan penggunaan ubat-ubatan secara berkualiti dan optimum.

Perkhidmatan itu dimulakan pada 2004 dan sehingga Ogos lalu, sebanyak 4459 lawatan diadakan di seluruh Malaysia melibatkan kolaborasi ahli farmasi dan MyChampion Duta Kenali Ubat Anda sebagai pemudah cara dalam usaha memantapkan perkhidmatan penyampaian maklumat dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, KKM menambah, sambutan Hari Farmasi Sedunia Kebangsaan bersempena Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani KKM dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan bakal diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada Ahad yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Antara program yang menjadi tumpuan adalah Touch Point iaitu merakyatkan KKM menerusi pelaksanaan aktiviti saringan kesihatan iaitu lawatan dari rumah melibatkan perkhidmatan farmasi dalam Program Santuni Rakyat: Kenali Ubat Anda.

“Aktiviti lain yang dijalankan adalah memberi bimbingan kepada pesakit berkeperluan seperti pengurusan ubat-ubatan sesuai, selamat dan bijak,” ujarnya.