Kolaborasi Sinar, Astro Arena martabatkan industri sukan

Antara perlawanan NSL pada musim lalu. Gambar kecil dari kiri: Nicholas John dan Nik Justin
Antara perlawanan NSL pada musim lalu. Gambar kecil dari kiri: Nicholas John dan Nik Justin
A
A
A

KEMERIAHAN Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 yang akan bermula bulan depan akan dapat dinikmati secara komprehensif di Sinar Harian selepas satu kolaborasi dijalin bersama Astro Arena.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Sinar Harian sekali gus langkah untuk lebih banyak kerjasama demi memartabatkan industri sukan di negara ini.

“Kami daripada pihak Astro amat berbangga untuk mengumumkan jalinan kerjasama dengan pihak Sinar Harian untuk memperkasakan industri sukan terutama dalam bola jaring ini.

“Namun, kami melihat kolaborasi lebih luas bukan sahaja dalam sukan bola jaring dan turut dalam liga komersial yang lain sekali gus menyatukan dua entiti ini dengan misi yang sama,” katanya kepada Sukan Sinar.

No Image Caption

Sebagai rekod musim ketiga NSL 2023 melibatkan penyertaan KL Wildcats, Johor Jewels, Pahang Tulips, Selangor Angels, Negeri Sembilan Venoms, Perak Phoenix, Putrajaya Dynamites dan Terengganu Thunderbolts menyingkap cabaran pada 13 Oktober hingga 5 November di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Dalam pada itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, peluang kolaborasi tersebut dilihat amat menarik apatah lagi bola jaring merupakan antara sukan yang popular di negara ini.

“Bola jaring adalah salah satu sukan agak popular dalam kalangan rakyat Malaysia terutama di komuniti setempat. Ramai juga yang minat bola jaring tetapi pendedahan itu kurang.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, bagi kami, memang berbesar hati menerima jemputan kolaborasi ini kerana Sinar Harian boleh menjadi platform untuk meluaskan sukan ini.

“Pelbagai pengisian akan diatur bersama Astro Arena untuk memastikan kemeriahan ini akan dapat dirasai oleh peminat bola jaring,” katanya.